BH Online
Ringkasan Berita

Sifar kes buli selepas bekas tentera jadi warden, Asyraf Wajdi saran KPM contohi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) wajar mempertimbangkan keperluan menempatkan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di sekolah bagi menangani insiden buli.
Sifar kes buli selepas bekas tentera jadi warden, Asyraf Wajdi saran KPM contohi

Foto hiasan. - Janaan AI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) wajar mempertimbangkan keperluan menempatkan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di sekolah bagi menangani insiden buli.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia selepas melihat kejadian buli di sekolah semakin menjadi-jadi ketika ini.

Langkah sedemikian kata beliau, turut memberikan peluang pekerjaan kepada bekas tentera, disamping disiplin dalam kalangan pelajar juga akan meningkat.

"MARA bersedia berkongsi dengan KPM mengenai laporan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa dalam kalangan bekas tentera di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) yang sudah dijalankan selama sembilan bulan.

"Antara dapatan utama sepanjang tempoh pelaksanaan, sifar kes buli direkodkan dengan tahap disiplin pelajar meningkat. Pemantauan lebih konsisten serta tindak balas terhadap isu kebajikan dan keselamatan pelajar lebih pantas.

"Selain itu, suasana asrama lebih selamat, kemas dan kondusif. Memberi kesan positif kepada para guru yang tidak lagi terbeban dengan tugas warden sebaliknya fokus kepada tugas hakiki mengajar dan mendidik pelajar," katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, pencapaian akademik pelajar turut meningkat, selain maklum balas pelajar sangat positif berdasarkan tinjauan dan lawatan di lapangan.

"Gabungan elemen ketegasan dan nilai 'keibubapaan' ini menjadikan mereka bukan sekadar warden, tetapi pembimbing dan pendidik kepada anak-anak di asrama," katanya.

Berpandukan dapatan kajian ini, beliau berkata, MARA sudah membuat ketetapan memperluas pelaksanaan inisiatif ini ke 10 lagi MRSM bermula bulan lalu sebagai langkah pengukuhan awal, sebelum diperluas ke semua 58 MRSM di seluruh negara bermula Januari tahun depan.

"Pendekatan ini diyakini mampu memperkukuh sistem pengurusan asrama secara lebih tersusun, profesional dan berkesan.

"Saya juga sudah meminta pasukan UPM diketuai oleh Prof Dr Haslinda untuk membantu membangunkan modul latihan khusus kepada warden yang bakal dilantik.

"Modul ini akan memberi penekanan bukan saja kepada aspek disiplin dan keselamatan tetapi pembentukan nilai kemanusiaan, empati dan keibubapaan agar mereka benar-benar menjiwai peranan mentarbiah anak-anak MRSM seperti ibu bapa di asrama selari dengan Falsafah Pendidikan MARA," katanya.

Beliau berkata, ramai bekas anggota tentera menamatkan perkhidmatan sekitar umur 38 hingga 45 tahun dan dalam usia masih produktif, sudah tentu boleh dimanfaatkan untuk menyertai pula sektor pendidikan khususnya membantu meningkatkan tahap disiplin pelajar.

"Selain itu, ia antara alternatif boleh menyelesaikan isu kebajikan veteran ATM (Angkatan Tentera Malaysia), khususnya veteran tidak berpencen, yang sering dibangkitkan.

"Mereka menamatkan khidmat ketika masih produktif tetapi tidak semua menikmati pencen bulanan, bergantung kepada tempoh perkhidmatan yang diiktiraf," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan