DALAM landskap ekonomi global hari ini, daya saing sesebuah negara tidak lagi diukur berdasarkan kos pengeluaran atau kemudahan menjalankan perniagaan semata-mata.
Pelabur dan rakan dagang kini semakin mengutamakan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai penanda aras dalam membuat keputusan pelaburan dan perdagangan. Dalam kerangka ini, isu buruh paksa, layanan terhadap pekerja serta keberkesanan tadbir urus menjadi faktor penting menentukan keyakinan negara asing dan pelabur untuk berurus niaga.

Lihat sahaja pendirian Amerika Syarikat (AS) yang memberi tempoh dua tahun kepada Malaysia untuk memperkemaskan kerangka undang-undang berkaitan buruh paksa dengan menjadikan tarif perdagangan 10 peratus sebagai jaminan.
Tempoh ditetapkan AS bukan sekadar peluang mengelakkan tindakan perdagangan lebih berat, tetapi juga ruang untuk Putrajaya memperkukuhkan kredibiliti negara dalam aspek hak pekerja dan tadbir urus.
Namun, cabaran itu hadir ketika tempoh sah Parlimen ke-15 berbaki kira-kira setahun setengah lagi atau kurang daripada itu. Ini meletakkan kerajaan dalam kedudukan sukar untuk mengemas kini undang-undang berkaitan buruh paksa. Ini kerana sebarang reformasi perundangan lazimnya memerlukan penelitian mendalam, rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan dan sokongan politik mencukupi.
Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) mungkin tidak jauh lagi, maka kepentingan politik dan kestabilan negara perlu menjadi keutamaan kerajaan walaupun tersepit dengan tuntutan AS dalam urusan perdagangan dua negara.
Dilema dihadapi kerajaan bukan sekadar hendak mengejar layanan tarif lebih baik daripada AS, tetapi menyusun strategi dalam tempoh kurang dua tahun ini bagaimana hendak memenuhi mandat rakyat sebagai pemerintah.
Namun, isu buruh paksa tidak terkait dengan tuntutan Washington sahaja, bahkan menyentuh reputasi Malaysia sebagai negara perdagangan yang menghormati hak pekerja, selain menjadi faktor penting dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi.
Justeru, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan penggubalan undang-undang khusus berkaitan buruh paksa kerana kelemahan dalam pengurusan tenaga kerja asing sering menjadi punca kepada eksploitasi dan manipulasi golongan terbabit.
Agenda ini memerlukan komitmen besar kerajaan. Pejabat Peguam Negara perlu menyediakan kerangka perundangan mantap, manakala Jabatan Perdana Menteri berperanan menyelaras dasar merentas kementerian serta memastikan reformasi dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.
Kementerian Sumber Manusia dan agensi penguat kuasa pula perlu memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan pemantauan terhadap sektor yang berisiko tinggi.
Walaupun begitu, Malaysia tidak harus terlalu bimbang dengan tempoh diberikan AS, sebaliknya ia masih memberi peluang kepada Putrajaya untuk melaksanakan pembaharuan dalam aspek perundangan buruh yang sudah lama diperlukan.
Apa yang penting, komitmen semua pihak antara kementerian dan agensi berkaitan amat penting untuk merangka atau memperkukuh undang-undang buruh sedia ada.
Ia bukan sahaja bagi memenuhi tuntutan tarif AS, tetapi memastikan Malaysia berdaya saing dalam ekonomi global yang meletakkan standard buruh dan ESG sebagai syarat utama perdagangan antarabangsa.
























