BH Online
Ringkasan Berita

Nostalgia sekatan daerah 4 dekad lalu, Kuala Pilah bagi Mat Sabu ibarat pulang ke kampung

KUALA PILAH: Bagi Datuk Seri Mohamad Sabu, kawasan Parlimen Kuala Pilah mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana suatu ketika dulu pernah menjadi ‘kampung’ kediamannya sewaktu dikenakan perintah sekatan daerah antara 1984 hingga 1986.
Nostalgia sekatan daerah 4 dekad lalu, Kuala Pilah bagi Mat Sabu ibarat pulang ke kampung

Datuk Seri Mohamad Sabu, beramah mesra bersama penduduk kampung ketika hadir Program Kenduri Sekampung di Kampung Ulu Senaling, Kuala Pilah. - NSTP/ Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA PILAH: Bagi Datuk Seri Mohamad Sabu, kawasan Parlimen Kuala Pilah mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana suatu ketika dulu pernah menjadi 'kampung' kediamannya sewaktu dikenakan perintah sekatan daerah antara 1984 hingga 1986.

Justeru, kehadiran Presiden AMANAH berusia 71 tahun yang lebih sinonim dengan panggilan Mat Sabu kali ini tidak ubah ibarat pulang ke kampung halaman.

"Saya datang sini banyakkan bertemu dengan anak cucu rakan-rakan saya semasa saya berada dua tahun dalam perintah sekatan di Kuala Pilah antara 1984 hingga 1986.

"Sudah 40 tahun berlalu, jadi yang ada anak cucu mereka.

"Alhamdulillah, saya berasa macam balik kampung. Sambutan diberikan orang-orang kampung sangat baik," katanya ketika ditemui selepas Program Kenduri Sekampung bersama Mohamad Sabu di Kampung Ulu Senaling, di sini malam ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelum ini salah seorang daripada pemimpin PAS yang dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa beliau menjadi aktivis Dewan Pemuda PAS Pusat.

Penahanan pertama berlaku pada 1984 sehingga 1986 di atas tuduhan terbabit dalam gerakan pelampau.

Beliau dibuang daerah ke Kuala Pilah dengan pergerakan terhad selama dua tahun, manakala penahanan kali kedua berlaku pada 1987 hingga 1989.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, dalam kunjungan hari ini beliau sempat bertemu dengan bekas pegawai polis yang membawanya dari lokap di Bukit Aman ke Kuala Pilah.

Menurutnya, hubungan mereka berdua kekal baik sehingga ke hari ini.

"Bagi kita dalam perjuangan ini, kita tidak menyalahkan orang (dan)... jangan ada sifat dendam.

"Bagi polis (pula) dia menjalankan tugas mengikut perundangan pada waktu itu dan kita mempunyai hubungan yang baik," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan