BH Online
Ringkasan Berita

Bawah jambatan Pulau Pinang kawasan larangan, tiada lagi 'syurga' kaki pancing

GEORGETOWN: Kawasan bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebh dikenali jambatan kedua, kini tidak lagi menjadi ‘syurga’ bagi kaki pancing.
Bawah jambatan Pulau Pinang kawasan larangan, tiada lagi 'syurga' kaki pancing

Operasi Khas Bersepadu dijalankan di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang sebelum ini sering menjadi tumpuan pemancing. Foto Maritim Malaysia

GEORGETOWN: Kawasan bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah atau lebh dikenali jambatan kedua, kini tidak lagi menjadi 'syurga' bagi kaki pancing.

Ini kerana, kedua-dua jambatan itu sudah diisytihar sebagai Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298), selain diklasifikasikan sebagai Sasaran Penting Negara.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berkata mana-mana individu yang melanggar larangan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 Akta 298 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, individu terbabit juga boleh disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh.

Mengulas lanjut, katanya penguatkuasaan amat penting bagi mengelak sebarang risiko terhadap keselamatan awam serta mempertahankan integriti infrastruktur strategik negara.

"Aktiviti pencerobohan di bawah jambatan dikhuatiri boleh menjejaskan saluran kabel komunikasi serta kabel elektrik voltan tinggi milik Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berada di bawah struktur jambatan.

"Bagi memperkukuh tadbir urus keselamatan, Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri (JSPN) bersama CGSO Pulau Pinang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Utara, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), PLUS serta agensi keselamatan berkaitan sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal selia sebarang aktiviti yang dijalankan berhampiran kedua-dua jambatan," katanya.

Terdahulu, rondaan dan pemeriksaan dilakukan agensi terbabit bagi membanteras pencerobohan di bawah kedua-dua jambatan berkenaan.

Maritim Malaysia mengingatkan khususnya komuniti nelayan dan pemilik bot bahawa larangan pencerobohan meliputi keseluruhan kawasan di bawah kedua-dua jambatan, termasuk zon penampan sejauh 250 meter di kiri dan 250 meter di kanan struktur jambatan.

Video Terkini

Berita Berkaitan