KUALA LUMPUR: Detik sedih dan penuh emosi sempat dirakam di perkarangan pintu masuk utama Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur ketika majlis persaraan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Kemunculan tiba-tiba Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sebelum memberikan tabik hormat kepada Ayob Khan cukup menyuntik emosi.
Mohd Shuhaily kemudian memeluk Ayob Khan, sebelum kedua-dua mereka memandang satu sama lain sambil berbual pendek.
Kemunculan tiba-tiba Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sebelum memberikan tabik hormat kepada Ayob Khan cukup menyuntik emosi. - Video NSTP/ Safeek Affendy Razali pic.twitter.com/vHAZX2GWvq— Berita Harian (@bharianmy) July 26, 2026
Situasi itu berlaku selepas Ayob Khan, menyertai sesi bergambar bersama pasukan Unit Tindak Khas (UTK).
Kelihatan sebak seketika riak wajak kedua-dua pegawai kanan terbabit sebelum Shuhaily yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menepuk bahu Ayob beberapa kali tanda semangat setiakawan.

Mohd Shuhaily, kemudian bertemu Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan bersalaman bersama pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebaik selesai, Mohd Shuhaily menaiki motosikal berkuasa tinggi mengiring konvoi Ayob Khan keluar dari PULAPOL Kuala Lumpur.
Terdahulu, majlis bermula jam 2 petang menyaksikan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.
Ayob Khan yang akan memulakan persaraannya esok, setelah berkhidmat dalam pasukan keramat PDRM hampir 35 tahun.
Anak jati Kota Setar, Kedah itu menjawat beberapa jawatan penting dalam pasukan antaranya Penolong Pengarah Anti Pengganas, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah JSJ Bukit Aman.























