SEOUL: Seorang rakyat Malaysia maut dalam pergaduhan berkumpulan membabitkan warga asing di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, awal pagi Ahad, lapor Korea JoongAng Daily
Susulan kejadian itu Balai Polis Eumseong dilapor menahan seorang lelaki berusia 40-an yang juga rakyat Malaysia.
Lelaki berkenaan disyaki terbabit dalam kes bunuh serta beberapa kesalahan lain
Suspek didakwa menikam mangsa berusia 20-an menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong, kira-kira jam 3 pagi Ahad.
Ketika kejadian, dua kumpulan masing-masing turut disertai suspek dan mangsa dipercayai terbabit pergaduhan besar di jalan berkenaan.
Kira-kira 10 individu dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu.
Ketika pergaduhan, suspek didakwa mengeluarkan pisau sebelum menyerang mangsa.
Selain mangsa yang maut, seorang lagi individu cedera dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Suspek kemudian melarikan diri ke sebuah kediaman berhampiran selepas kejadian, namun berjaya ditahan polis kira-kira sejam kemudian.
Polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dengan mengambil keterangan daripada suspek serta individu lain yang terbabit dalam pergaduhan itu.
























