SUNGAI PETANI: Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung petikan ceramah yang dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim, berkata tuduhan kononnya Sanusi menyebut frasa 'Kalau India balik ke India, kalau Cina balik ke China' adalah tidak tepat, menghasut dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Berikutan itu pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini, hari ini, bagi mendesak siasatan dibuat ke atas Sathia kerana boleh mencetuskan kemarahan awam.
"Laporan ini dibuat berhubung satu kenyataan yang dibuat seorang pemimpin PKR dari Selangor yang menjadi viral di media sosial berkait ceramah Menteri Besar Kedah di satu ceramah di Jempol, Negeri Sembilan.
"Laporan Sathia itu adalah tidak benar dan cuba mengelirukan orang apabila Menteri Besar Kedah tidak menyebut frasa 'Kalau India balik ke India, Cina balik ke China' seperti didakwanya," katanya yang diiringi peguamnya, Abdul Rahim Yusof.
Muhammad berkata, kenyataan Sathia itu adalah membimbangkan kerana boleh menyebabkan kekeliruan dan ketegangan dalam hubungan kaum di negara ini.
Polis terima laporan pegawai MB Kedah
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.
























