BH Online
Ringkasan Berita

Di mana Zalina Azman?

KUALA LUMPUR: Kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman hampir enam tahun lalu terus menjadi tanda tanya.
Di mana Zalina Azman?

Kehilangan Zalina disedari anak lelakinya selepas gagal menghubungi personaliti TV3 itu sebelum laporan polis dibuat pada 29 November 2021.

KUALA LUMPUR: Kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman hampir enam tahun lalu terus menjadi tanda tanya.

Sehingga kini, tiada petunjuk baharu berhubung kehilangannya pada November 2021 meskipun pasukan penyiasat beberapa kali mengunjungi rumah personaliti terbabit bagi mencari petunjuk.

Malah, rakan baiknya yang bekas personaliti televisyen, Datuk Ras Adiba Radzi masih mengharap kepulangan rakan baiknya, Zalina Azman yang sehingga kini gagal dijejaki.

Menerusi satu hantaran di laman sosisl Threads, Ras Adiba memohon jasa baik orang ramai bagi membantu menjejaki sahabatnya itu dan menghubunginya jika menemui petunjuk atau sebarang maklumat.

"Ini buat sahabat saya, Zalina Azman. Saya pohon bantuan semua di luar sana untuk bantu saya cari sahabat saya.

"Anda boleh mesej saya secara peribadi," tulisnya.

Sejak kejadian itu kediamannya juga terbiar dipenuhi semak samun.

Kehilangannya itu disedari anak lelakinya, Mikhael Norman selepas gagal menghubungi ibunya sebelum dia membuat laporan polis pada 29 November 2021.

Zalina, dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

Pada 29 November, anaknya dan bapa saudara pergi ke rumah Zalina di Seksyen 3 dan mendapati kereta ibunya berada di tepi rumah.

Mikhael mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun. Turut ditemui beg duit milik ibunya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, kunci kereta serta wang tunai RM600.

Bagaimanapun, ibunya tidak dijumpai. Segala usaha mencari sudah dijalankan namun gagal menemui mangsa.

Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kemudian mengeluarkan satu kenyataan media berhubung kehilangan Zalina.

Dalam laporan berkenaan, Zalina disifatkan berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan beralamat akhir di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor.

Kehilangan Zalina mencuri perhatian masyarakat dengan usaha menjejakinya dilakukan besar-besaran membabitkan kerjasama Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara.

Bagaimanapun, usaha pencarian menemui jalan buntu meskipun pihak berkuasa berjaya mengumpul 25 kenyataan bagi membantu siasatan.

Video Terkini

Berita Berkaitan