KUALA LUMPUR: Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara hari ini mengingatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya terus menjadikan integriti dan profesionalisme sebagai prinsip dan teras utama dalam melaksanakan tugas.
Beliau yang berkhidmat selama 35 tahun menegaskan pasukan polis tidak boleh sama sekali berkompromi terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa atau sebarang salah laku jenayah tanpa mengira pangkat.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang terbabit dalam kesalahan seperti pemerasan, penculikan atau jenayah lain.
"Budaya melindungi pesalah tidak boleh wujud dalam pasukan polis. Ketegasan perlu bermula daripada kepimpinan tertinggi.
"Jika sesiapa melanggar undang-undang, tindakan mesti diambil tanpa mengira pangkat," katanya pada sidang media terakhir sempena hari terakhir beliau berkhidmat sebagai anggota PDRM hari ini.
Mengulas aspek keselamatan, Ayob Khan melahirkan rasa kecewa terhadap pembubaran Pasukan Petugas Khas Antikeganasan PDRM pada Februari 2014 yang disifatkannya sebagai satu kesilapan sehingga menjejaskan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman keganasan.
Bekas pegawai kanan Cawangan Khas itu juga berkata, sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat, beliau terbabit dalam pelbagai operasi besar membanteras keganasan antarabangsa sejak 1995.
Antara operasi penting yang pernah disertainya ialah penahanan Wali Khan Amin Shah, individu yang mempunyai kaitan dengan suspek pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 1993, sebelum suspek itu diekstradisi ke Amerika Syarikat.
Beliau turut terbabit dalam siasatan terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan serangan pengganas 11 September 2001, termasuk usaha perkongsian risikan bersama Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.
Katanya, Malaysia berjaya membangunkan kepakaran dan kemahiran tinggi dalam usaha memerangi keganasan antarabangsa dan pengetahuan serta pengalaman itu perlu terus dipelihara bagi memperkukuhkan keselamatan negara.
Mengenai politik, Ayob Khan menegaskan pegawai polis perlu kekal berkecuali dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara adil tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan politik.
"Saya seorang pegawai polis, bukannya ahli politik. Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara sama rata tanpa mengira fahaman atau parti politik," katanya.
Ayob Khan berkata, penahanan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kerajaan ketika itu mengikut undang-undang antikeganasan pada 2019 membuktikan tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan tanpa campur tangan politik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang disifatkannya sentiasa memberikan kerjasama baik sepanjang kerjayanya.
Katanya, hubungan erat antara polis dan media amat penting bagi memastikan maklumat yang tepat serta pantas dapat disampaikan kepada masyarakat.
Menjelang persaraannya, Ayob Khan berharap generasi baharu warga PDRM akan terus mempertahankan nilai integriti, menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta berkhidmat kepada rakyat dengan penuh profesionalisme.
























