BH Online
Ringkasan Berita

40 jenazah terkesan tanah runtuh di Kampung Sim Sim dipindahkan, dikebumi satu liang

SANDAKAN: Lebih 40 jenazah yang terkesan akibat tanah runtuh di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim dikebumikan semula secara berjemaah dalam satu liang di sini, hari ini.
40 jenazah terkesan tanah runtuh di Kampung Sim Sim dipindahkan, dikebumi satu liang

Waris dan penduduk berkumpul selepas proses pengebumian semula jenazah yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Tanah Perkuburan Islam, di Kampung Sim-Sim, di Sandakan. - Foto ihsan pembaca

SANDAKAN: Lebih 40 jenazah yang terkesan akibat tanah runtuh di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim dikebumikan semula secara berjemaah dalam satu liang di sini, hari ini.

Semua jenazah dipindahkan ke kawasan rata di tapak perkuburan sama dengan operasi dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, Rahmin Arman berkata proses pemindahan lancar dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), polis, waris serta penduduk setempat.

"Proses pemindahan dilakukan mengikut nasihat Mufti Sabah agar semua jenazah disemadikan semula secara berjemaah dalam satu liang lahad.

"Ia selaras hukum syarak dan bagi menjaga kemuliaan jenazah," katanya.

Rahmin berkata, proses berkenaan turut disaksikan Pengarah JHEAINS Sabah, Datuk Awang Juri Ag Tahir menerusi panggilan video bagi memastikan proses berjalan mengikut tertib dan lancar.

Katanya, kawasan perkuburan terjejas akan dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan larangan pengebumian pada masa akan datang bagi mengelak risiko tanah runtuh serta menjamin keselamatan orang ramai.

Dalam kejadian 11 Mac lalu, lebih 20 kubur dilaporkan rosak akibat kejadian tanah runtuh di tanah perkuburan itu.

Selain tanah perkuburan terjejas, seorang lelaki warga tua, Agustine Frederick J Lingam, 76, juga dilaporkan maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah hotel di pusat bandar Sandakan.

Video Terkini

Berita Berkaitan