KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berharap kerajaan memperbetulkan semula struktur gred perjawatan tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada masa ini, jawatan Ketua Polis Negara, yang disandang oleh Tan Sri Mohd Khalid Ismail, menyandang Gred Turus 2, manakala jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, menyandang gred JUSA A.
Ayob Khan berkata, Gred JUSA A turut disandang oleh Pengarah Cawangan Khas dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
"Saya bercakap mengenai isu ini bukan kerana hari ini hari terakhir saya melaksanakan tugas sebaliknya saya dah bercakap perkara ini sebelum ini lagi termasuk ketika dalam majlis terbuka anjuran Kerajaan MADANI di Kuantan.
"Selepas Ketua Polis Negara dilantik dengan Gred Turus 2, kerajaan sewajarnya memberikan Gred Turus 3 kepada Timbalan Ketua Polis Negara, manakala semua Pengarah Jabatan dalam PDRM diberikan Gred JUSA A.
"Selain itu, saya turut mencadangkan semua Ketua Polis Negeri (KP) diberikan jawatan Gred Jusa B," katanya pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini.
Beliau berkata, persamaan gred Timbalan KPN dengan Pengarah Cawangan Khas dan Pengarah KDNKA menyukarkan sedikit arahan pengaturan tugas yang dilaksanakan disebabkan ianya dari pegawai gred yang sama.
Katanya, harapan untuk kerajaan memperbetulkan struktur gred dalam PDRM ini bukanlah semata-mata untuk dirinya, disebabkan beliau sudah mengakhiri perkhidmatan, sebaliknya adalah untuk kepimpinan tertinggi pada masa akan datang.
"Setiap hari semakin ada pertambahan penduduk dan beban tugas oleh setiap pegawai dan anggota PDRM semakin bertambah dari masa ke masa.
"Justeru, adalah wajar untuk kerajaan meneliti dan memperbetulkan gred jawatan KPN, Timbalan KPN dan Pengarah dalam pasukan," katanya.
























