KUALA LUMPUR: Sistem merit dicadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diperkenalkan kepada pelajar yang berani menyalurkan maklumat mengenai buli, peras ugut atau dadah mampu memecahkan budaya berdiam diri dalam kalangan pelajar.
Bagaimanapun Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Ahmad Thamrini Fadzlin Syed Mohamed berkata, pelaksanaannya perlu dikaji dengan teliti.
Menurutnya, kajian menunjukkan seorang daripada tiga murid sekolah menengah mengalami buli siber, namun lebih separuh enggan melaporkannya kerana takut dibalas atau tidak yakin pihak sekolah akan melindungi mereka.
"Namun, kelemahan dalam sistem merit ini juga besar. Apabila ganjaran diberikan untuk maklumat, kita berisiko menukar murid menjadi pemberi maklumat sulit," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pada pandangan pertama cadangan itu dilihat mempunyai logik tersendiri terutama bagi menggalakkan pelajar lebih berani untuk tampil ke hadapan sekiranya dibuli atau menghadapi masalah dadah atau peras ugut.
Bagaimanapun, katanya timbul persoalan etika dan psikososial sekiranya menjadikan golongan remaja sebagai sumber risikan kerana pengadu masih perlu bergerak dalam ruang yang sama dengan pihak yang diadukan.
"Jika kita benar-benar mahu mengurangkan keganasan, kita perlu bergerak daripada tindakan selepas kejadian buli kepada pencegahan.
"Hukuman, penggantungan dan laporan polis mungkin perlu, tetapi semuanya berlaku selepas kerosakan dilakukan. Pembelajaran Sosial dan Emosi atau Social-Emotional Learning (SEL) menawarkan pendekatan yang lebih kukuh.
"SEL mengajar empati, kawalan diri, penyelesaian masalah, pengurusan emosi dan komunikasi berkesan. Kajian menunjukkan penggunaan SEL berjaya mengurangkan buli, penganiayaan dan tingkah laku agresif di sekolah," katanya.
Ahmad Thamrini berkata, kaedah pendidikan SEL merupakan satu alat pencegahan yang proaktif berbanding menanti pelajar yang berani tampil ke hadapan selepas berlaku sesuatu kejadian buli atau perlakuan agresif lantas memastikan 'pukulan' itu tidak berlaku.
Katanya, keganasan dalam kalangan pelajar jarang muncul secara tiba-tiba dan lazimnya mempunyai tanda awal seperti kemarahan tidak terkawal, pengasingan diri, obsesi kandungan berunsur ganas atau merasakan diri terpinggir.
Justeru, untuk benar-benar menangani isu buli, peras ugut dan dadah di sekolah semua pihak termasuk ibu bapa harus bersatu padu membina persekitaran yang inklusif bukan sekadar menjalankan kempen.
"Kakitangan sekolah juga perlu dilatih untuk mengenal pasti tanda amaran awal tanpa melabel setiap murid pendiam sebagai ancaman bertujuan memberi sokongan awal kepada pelajar terbabit sebelum masalah mereka menjadi tidak terkawal.
"Sekolah juga perlu bergerak daripada disiplin yang semata-mata menghukum kepada amalan pemulihan. Pendekatan ini menekankan komunikasi, tanggungjawab, pemulihan hubungan dan penyelesaian konflik.
"Pelaku tetap perlu bertanggungjawab, tetapi hukuman semata-mata tidak semestinya mengubah tingkah laku.Menggantung seorang murid selama seminggu mungkin hanya menjadikan dia kembali dengan kemarahan yang sama," katanya.
























