BH Online
Ringkasan Berita

Manifesto PN: "Jika ia realistik, selari perjuangan kita, tidak ada sebab untuk menolaknya" - Ahmad Maslan

LARUT: UMNO terbuka untuk meneliti dan mempertimbang 14 tawaran yang dikemukakan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekiranya ia selari perjuangan parti serta mampu dilaksanakan secara realistik.
Manifesto PN: "Jika ia realistik, selari perjuangan kita, tidak ada sebab untuk menolaknya" - Ahmad Maslan

Datuk Seri Ahmad Maslan (dua dari kanan) ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Larut di Dewan Semai Bakti Ijok. - NSTP/ Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

LARUT: UMNO terbuka untuk meneliti dan mempertimbang 14 tawaran yang dikemukakan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekiranya ia selari perjuangan parti serta mampu dilaksanakan secara realistik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setakat ini beliau belum meneliti secara terperinci manifesto berkenaan, namun menegaskan mana-mana tawaran yang praktikal dan memberi manfaat kepada rakyat boleh diterima.

Menurutnya, UMNO tidak mahu menjanjikan perkara yang sukar dilaksanakan atau sekadar menawarkan janji bersifat populis sehingga gagal ditunaikan selepas pilihan raya.

"Kita tidak mahu berjanji bulan dan bintang. Manifesto perlu berpaksikan perkara yang praktikal dan mampu dilaksanakan.

"Jika manifesto itu realistik serta selari dengan perjuangan kita, tidak ada sebab untuk menolaknya.

" Namun, keputusan muktamad tetap diserahkan kepada pucuk pimpinan parti," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Larut 2026 di Dewan Semai Bakti, Ijok, di sini.

Beliau berkata, persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan PN ketika ini tertumpu kepada pembahagian kerusi bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Hasil persefahaman itu, katanya menyaksikan BN bertanding di 25 kerusi yang diyakini mampu dimenangi, manakala PN diberikan 11 kerusi yang menjadi kekuatan mereka.

Mengulas kemungkinan kerjasama diperluaskan ke negeri lain, beliau berkata pendekatan diambil secara berperingkat dan mengikut keputusan pucuk pimpinan.

"Kita selesaikan Johor terlebih dahulu, kemudian Negeri Sembilan dan selepas itu Melaka.

"Belum ada keputusan untuk peringkat Pusat, semuanya akan ditentukan mengikut masa yang sesuai," katanya.

Mengenai kerjasama antara jentera akar umbi, termasuk Pemuda BN dan Pemuda PN, beliau berkata perkara itu akan berlaku secara semula jadi apabila persefahaman dicapai di peringkat tertinggi.

Katanya, sokongan antara penyokong kedua-dua parti juga boleh dinilai berdasarkan pola pengundian di setiap saluran dan pusat mengundi.

Mengulas kecenderungan pengundi bukan partisan yang dilihat mahu menolak Pakatan Harapan (PH), beliau berkata UMNO dan BN perlu bijak menyusun strategi politik mengikut keadaan semasa.

"Di sesetengah tempat, apabila orang Melayu berpecah, PH akan menang. Tetapi apabila orang Melayu bersatu, UMNO-BN mempunyai peluang lebih besar.

"Dalam politik, yang penting ialah strategi dan taktik.

"Apa juga langkah yang memberi manfaat kepada perjuangan parti dan rakyat akan kita pertimbangkan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan