RANTAU PANJANG: Kejayaan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia ONE Championship tidak hadir dalam sekelip mata, sebaliknya hasil perjalanan panjang yang dibina bersama bapanya, Rakib Ahmad sejak kecil.
Rakib, 52, bekas peninju negara, menjadi individu penting dalam membentuk asas karier Aliff apabila memperkenalkan anak keduanya itu kepada sukan tempur sejak berusia lima tahun.
Aliff Aliff mengukir sejarah tersendiri apabila muncul rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia ONE Championship selepas menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan knockout (KO) untuk merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight.
Kejayaan penuh bermakna itu dilakar Aliff pada acara ONE: The Inner Circle 23 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, sekali gus meletakkan namanya dalam sejarah sebagai atlet pertama negara menjulang kejuaraan dunia di pentas organisasi seni bela diri terbesar dunia itu.
Anak kelahiran Kelantan itu sekali gus melengkapkan perjalanan penuh pengorbanan dan dedikasi untuk muncul sebagai juara dunia terbaru Malaysia.
Rakib turut berbangga apabila segala pengorbanan dan latihan keras yang dilalui Aliff selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil.
"Masa itu saya sendiri rasa bangga sebab dia usaha sejak kecil lagi, berusaha ke Bangkok sampai berjaya dapat juara dunia. Alhamdulillah, syukur.
"Masa kecil latihan lima tahun mula dan umur 14 tahun seorang dia ke Bangkok, dia usaha sendiri buat nama untuk negara," katanya.
Rakib berkata, Aliff mengambil keputusan berhijrah ke Bangkok ketika berusia 14 tahun bagi menjalani latihan intensif di Kem Sor Dechapan, Thailand demi memperkemaskan kemahiran dalam seni bela diri Muay Thai.
"Sepanjang perlawanan berlangsung, saya dapat melihat dia mempunyai peluang cerah untuk menang walaupun berdepan lawan yang begitu berpengalaman," kata Rakib yang mempunyai empat anak.
Rakib berkata Aliff, anak keduanya, sentiasa kekal fokus terhadap cita-citanya walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran hidup dan berlatih jauh dari keluarga pada usia yang masih muda.
"Dia tidak pernah berputus asa. Gelaran juara dunia ini membuktikan bahawa dedikasi, disiplin dan pengorbanan mampu mengubah impian menjadi kenyataan," katanya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bakti, Nik Mohamad Mustapa, berkata penduduk di pekan itu amat berbangga kerana seorang daripada anak tempatan berjaya mengharumkan nama Kelantan dan Malaysia di pentas dunia.
"Kami amat berbangga dengan pencapaian Aliff. Dia sudah mengharumkan nama Malaysia dan Rantau Panjang di persada antarabangsa.
"Kami merancang mengadakan majlis sambutan khas kepulangannya supaya penduduk dapat mengucapkan tahniah secara langsung atas kejayaan bersejarah ini," katanya.
Nik Mohamad berkata, kecemerlangan dalam sukan sememangnya mengalir dalam keluarga itu apabila abang Aliff, Ahmad Nor Iman Hakim, pernah menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia pada Sukan SEA 2022 di Vietnam.
Penduduk Che Mazahar Che Mat, 52, yang mengenali bapa Aliff sejak sekian lama, menyifatkan kemenangan itu sebagai detik yang amat menyentuh perasaan buat penduduk Rantau Panjang.
"Kami begitu teruja menyaksikan pertarungan itu. Saya meremang melihat tendangan dan tumbukannya.
"Apabila dia menewaskan lawan yang begitu berpengalaman, kami berasa amat bangga kerana dia berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa," katanya.
























