TEMERLOH: Suasana pilu menyelubungi dua lokasi pengebumian hari ini apabila enam sahabat yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Bentong-Karak semalam, disemadikan.
Tiga mangsa iaitu Mugilan Vraputiran, 25, Dinesvaran Kumar, 21, dan Kiisyen Sasi Kumar, 16, dibawa ke Mentakab Hindu Crematorium untuk pembakaran mayat yang dihadiri ahli keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan.
Tiga lagi mangsa, Alaganathan Krishnan, 20, Kanabati Raja Arunasalam, 18, dan Paranthaman Marutayah, 15, pula disemadikan di Tanah Perkuburan Hindu Sungai Kawang, Karak.

Di Mentakab Hindu Crematorium, ahli keluarga dilihat berkumpul sejak awal pagi bagi memberikan penghormatan terakhir, manakala di Tanah Perkuburan Hindu Sungai Kawang, Karak, ratusan ahli keluarga dan penduduk setempat hadir mengiringi pengebumian tiga lagi mangsa.
Tragedi yang meragut enam nyawa itu menjadi antara kemalangan paling menyayat hati di daerah ini tahun ini.




















