BH Online
Ringkasan Berita

Kehilangan Zalina Azman bukan jenayah?

KUALA LUMPUR: Kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman sejak lima tahun lalu lebih menyerupai tindakan seseorang yang sengaja memutuskan identiti dan meninggalkan kehidupan lamanya berbanding mangsa jenayah.
Kehilangan Zalina Azman bukan jenayah?

Tinjauan sekitar kawasan rumah bekas personaliti TV3, Zalina Azman (foto kecil) di Jalan Ketiau, Seksyen 3 Shah Alam.

KUALA LUMPUR: Kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman sejak lima tahun lalu lebih menyerupai tindakan seseorang yang sengaja memutuskan identiti dan meninggalkan kehidupan lamanya berbanding mangsa jenayah.

Penganalisis Jenayah Bebas dan Kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata berdasarkan corak pelbagai kes orang hilang yang pernah dikajinya, terdapat individu yang memilih untuk hidup sebagai 'orang baharu' tanpa perlu menukar dokumen rasmi, mengubah penampilan, rutin harian serta lingkungan sosial sehingga sukar dikesan.

Katanya, kemungkinan individu terbabit memilih meninggalkan kehidupan asal secara sukarela atas faktor peribadi atau psikologi sehingga tidak lagi berhubung dengan keluarga, selain hanya individu tertentu mungkin mengetahui lokasi sebenar mereka.

"Kalau ikut rekod kes-kes sebelum ini, orang hilang dalam tempoh lama ada yang akhirnya muncul semula.

"Dalam kes seperti ini, kemungkinan besar dia menghilangkan identiti sosialnya.

"Bukan bermaksud dia menukar dokumen pengenalan diri, tetapi dia memilih untuk hidup di tempat lain tanpa mahu dikenali sebagai dirinya sebelum ini," katanya seperti dilaporkan Metro Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai misteri kehilangan Zalina yang gagal dihubungi dan dijejaki sejak 24 November 2021 selepas anaknya, Mikhael Norman gagal menghubunginya bagi memaklumkan bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital.

Sehingga kini, kehilangan Zalina kekal misteri dengan polis mengekalkan statusnya sebagai Orang Hilang (OH) kerana tiada bukti sahih yang menunjukkan wanita itu meninggal dunia atau meninggalkan negara.

Kes berkenaan terus kekal terbuka sementara polis meneruskan siasatan dan semakan terhadap sebarang petunjuk baharu.

Mengulas lanjut, Shahul Hamid berkata, faktor Zalina sebagai personaliti televisyen yang dikenali ramai juga tidak boleh diketepikan kerana individu terkenal lebih berkemungkinan memilih untuk tidak lagi dikenali sekiranya mahu memulakan kehidupan baharu.

"Sekiranya Zalina masih menjalani kehidupan menggunakan identiti serta rutin sama, besar kemungkinan pihak berkuasa sudah berjaya mengesannya melalui pelbagai urusan dan rekod rasmi.

"Atas sebab itu, saya lebih cenderung menolak kemungkinan kehilangan berkenaan berpunca daripada jenayah kerana sehingga kini tiada sebarang petunjuk yang mengaitkan kes itu dengan pembunuhan, penculikan atau perlakuan jenayah lain.

"Kalau benar berlaku jenayah, lazimnya akan ada petunjuk tertentu yang boleh membawa kepada siasatan. Dalam kes ini, sehingga sekarang tiada," katanya.

Beliau berkata, status Zalina sebagai Orang Hilang (OH) juga tidak bermaksud siasatan dihentikan sebaliknya pengelasan itu hanyalah kategori siasatan dan polis masih menjalankan usaha mengesannya termasuk membuat semakan berkala terhadap setiap petunjuk baharu serta penemuan mayat tanpa identiti.

Harapan rungkai misteri masih ada

"Walaupun tempoh kehilangan semakin panjang, harapan untuk merungkai misteri itu masih ada menerusi perkembangan teknologi forensik, analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA), semakan rekod baharu serta maklumat yang disalurkan orang awam.

"Setiap penemuan mayat tanpa identiti akan melalui proses semakan dengan rekod orang hilang termasuk analisis identiti bagi memastikan tiada kaitan dengan kes yang masih belum selesai.

"Semakin lama sesuatu kes itu berlarutan, memang cabarannya semakin besar, namun itu tidak bermakna siasatan harus dihentikan kerana semua kemungkinan yang munasabah masih perlu disiasat," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil membantu polis kerana petunjuk sekecil mana sekalipun berpotensi membuka semula laluan siasatan yang sudah lama menemui jalan buntu.

"Kes seperti ini mengingatkan kita bahawa tidak semua kehilangan mempunyai jawapan yang mudah.

"Penyelesaiannya bergantung kepada pembuktian, siasatan yang berterusan dan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan