BH Online
Ringkasan Berita

PRN Negeri Sembilan: Pengundi Melayu perlu tolak politik perkauman, sentimen kebencian

KUALA LUMPUR: Pengundi khususnya orang Melayu diingatkan supaya menolak politik berasaskan perkauman dan sentimen kebencian sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
PRN Negeri Sembilan: Pengundi Melayu perlu tolak politik perkauman, sentimen kebencian

Pengerusi Biro Kepimpinan dan Pentadbiran Negara Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pengundi khususnya orang Melayu diingatkan supaya menolak politik berasaskan perkauman dan sentimen kebencian sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi Biro Kepimpinan dan Pentadbiran Negara Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun, berkata masih terdapat pihak yang memainkan naratif bahawa undi Melayu tidak boleh berpecah bagi menghalang pihak tertentu daripada memenangi pilihan raya.

"PRN Negeri Sembilan sekali lagi menyaksikan penyebaran mesej yang cuba menanam kebencian dan syak wasangka dalam kalangan orang Melayu.

"Orang Melayu hari ini bukan lagi katak di bawah tempurung. Mereka melihat dunia yang semakin mencabar.

"Mereka mahukan ekonomi yang kukuh, peluang pekerjaan, pelaburan asing, pendidikan berkualiti, tadbir urus yang baik dan sebuah negara yang stabil," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tegasnya, Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, institusi Raja-Raja Melayu serta hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

"Tiada siapa boleh menghapuskannya hanya kerana keputusan sebuah pilihan raya negeri.

"Kita perlu berani menilai pemimpin berdasarkan integriti, prestasi, kemampuan mentadbir serta keikhlasan membangunkan negara, bukannya berdasarkan propaganda memecah-belahkan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, PRN Negeri Sembilan adalah peluang untuk rakyat memilih kerajaan negeri yang mampu membawa kemajuan, pelaburan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan kepada semua.

"Marilah kita menolak politik adu domba dan fitnah. Kita bina Malaysia yang lebih bersatu, lebih makmur dan lebih dihormati di mata dunia.

"Hidup Melayu bukan dengan membenci kaum lain. Hidup Melayu adalah dengan membina ilmu, ekonomi, perpaduan dan kepimpinan yang berintegriti. Itulah perjuangan yang sebenar," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan