KOTA KINABALU: Bencana banjir yang melanda Tawau semalam menjejaskan operasi beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di daerah itu sehingga mengganggu bekalan air yang disalurkan kepada 5,578 akaun pengguna.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata operasi LRA yang dikenalpasti terjejas itu adalah Apas Balung 1 dan 2, LRA Utara serta LRA Cinta Mata.
Katanya, LRA Apas Balung 1 dan 2 terpaksa dihentikan sementara selepas kawasan loji ditenggelami air sepenuhnya sehingga mengakibatkan kerosakan kepada kemudahan serta komponen utama mekanikal dan elektrikal (M&E).
"Jabatan Air Sabah (JANS) mengambil maklum berhubung gangguan bekalan air yang sedang dihadapi sebahagian pengguna di daerah Tawau susulan bencana banjir yang menjejaskan pengoperasian beberapa LRA.
"Kami memahami kesulitan yang dialami pengguna dan sedang melaksanakan pelbagai tindakan bagi memulihkan bekalan air secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Joachim berkata pasukan operasi dan teknikal JANS Bahagian Tawau sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh selain melaksanakan kerja pembersihan loji dan membaiki komponen rosak bagi membolehkan LRA Apas Balung 1 dan 2 kembali beroperasi.
Katanya, LRA Utara dan LRA Cinta Mata sudah pun kembali beroperasi, manakala pengeluaran air terawat sedang dipertingkatkan secara berperingkat bagi membantu menstabilkan bekalan kepada pengguna.
"Bagi mengurangkan kesan gangguanJANS Bahagian Tawau turut mengaktifkan pelan mitigasi sementara dengan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan yang terjejas.
"JANS memberi jaminan segala usaha sedang dipergiatkan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan memastikan sistem bekalan air kembali stabil dengan kadar segera," katanya.
Joachim berkata kerajaan negeri melalui JANS memberi perhatian terhadap penyelesaian jangka panjang menerusi pelaksanaan Projek Skim Bekalan Air Fasa III – Reka Bentuk dan Pembinaan Empangan Tawau yang dijangka siap pada Oktober tahun depan.
Katanya, projek terbabit bukan sahaja dijangka memperkukuh sistem bekalan air di daerah berkenaan, malah membantu mewujudkan sistem kawalan banjir yang lebih mampan pada masa depan.
Beliau turut memberi jaminan JANS Bahagian Tawau akan terus memantau situasi secara berterusan dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai melalui saluran rasmi jabatan.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, mangsa banjir di Tawau kekal merekodkan seramai 335 orang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau.
























