BATU PAHAT: UMNO Bahagian Parit Sulong hari ini meluluskan usul untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, dua faktor yang mendorong UMNO dan Barisan Nasional (BN) bergerak solo dengan satu daripadanya berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
"UMNO bahagian ini hari ini membuat satu usul untuk memberi cadangan kepada kepimpinan pusat bahawa UMNO dan BN perlu bergerak solo pada PRU16 nanti.
"Antara beberapa faktor yang mengukuhkan usul yang pertama ialah keputusan PRN tempoh hari. Kita nampak keputusan ini diterima oleh peringkat akar umbi dan pemimpin atas perlu mendengar suara dan denyut nadi kita semua.
"Selain itu, kita juga mengambil kira denyut nadi, suara keramat dan sokongan padu orang Melayu di peringkat akar umbi yang menuntut maruah serta kelangsungan parti dihormati, " katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Dewan Orang Ramai Taman Sri Sulong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalannya Mohd Ismail Roslan; Naib Ketua Bahagian, Mohd Fared Khalid dan Ketua Wanita merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Zulkurnain berkata, bertanding secara solo juga membolehkan UMNO dan BN merangka manifesto sendiri, memilih calon tanpa sekatan parti gabungan luar serta mengembalikan tradisi kekuatan jentera parti.
Jelasnya lagi, UMNO Bahagian mengambil maklum dan berpendirian bahawa Kerajaan Perpaduan bukanlah suatu gabungan pakatan politik yang kekal secara peribadi.
"Sebaliknya ia hanya bentuk persefahaman politik sementara demi kestabilan negara pada pasca PRU.
"Dinamik pengundian dan keputusan PRN Johor lalu memberi petunjuk jelas bahawa formula kerjasama longgar, mendatangkan pelbagai cabaran kepada sokongan asas parti," katanya.
























