BH Online
Ringkasan Berita

PRNNS: Perolehan aset pertahanan secara G2G tawar harga berpatutan, jamin bekalan - Khaled

PORT DICKSON: Kementerian Pertahanan mengenal pasti beberapa projek bagi perolehan aset dan sistem pertahanan negara yang akan dilaksanakan secara kerajaan kepada kerajaan (G2G), yang bukan saja menawarkan harga berpatutan, malah menjamin bekalan.
PRNNS: Perolehan aset pertahanan secara G2G tawar harga berpatutan, jamin bekalan - Khaled

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga, kanan) bersama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman (tiga, kiri) bersama pelatih PUSASDA ketika Program Kesejahteraan Warga ATM, Zon Selatan di Padang Institut Kejuruteraan Tentera Darat, Kem Sirusa, Port Dickson. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PORT DICKSON: Kementerian Pertahanan mengenal pasti beberapa projek bagi perolehan aset dan sistem pertahanan negara yang akan dilaksanakan secara kerajaan kepada kerajaan (G2G), yang bukan saja menawarkan harga berpatutan, malah menjamin bekalan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata setakat ini, dua perjanjian persefahaman (MoU) G2G sudah ditandatangani, iaitu dengan Turkiye dan Korea Selatan, selain beberapa negara, seperti Itali dan Perancis turut mengemukakan cadangan untuk melakukan kaedah sama.

"Jika dahulu, kita membuka tender dan semua syarikat, sama ada OEM (pengeluar peralatan asal) atau ejen akan masuk (membida) tapi kali ini, kita akan lakukan secara G2G.

"Ini memang kaedah baharu yang akan dilakukan. Pada masa sama, kita menetapkan beberapa kriteria bagi memastikan negara yang terbabit adalah negara yang boleh kita percayai dan bersedia memindahkan teknologi untuk membantu kita membangunkan industri pertahanan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Zon Selatan di Kem Sirusa di sini, hari ini.

mat nordin
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sidang media Program Kesejahteraan Warga ATM, Zon Selatan di Padang Institut Kejuruteraan Tentera Darat, Kem Sirusa, Port Dickson. Turut kelihatan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman (kiri). - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Jimat 15 peratus beli LMS dengan Turkiye

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan dapat mengurangkan kos pembelian Kapal Misi Pesisir (LMS) sebanyak 15 peratus menerusi rundingan secara terus antara kerajaan Malaysia dan Turkiye.

Beliau berkata, pendekatan secara G2G itu dilaksanakan bagi menghapuskan kebergantungan terhadap ejen yang sebelum ini menyebabkan kos pembelian aset pertahanan negara meningkat.

Mohamed Khaled percaya, pendekatan G2G itu akan memastikan perolehan aset pertahanan dapat dilaksanakan secara telus, tanpa mengabaikan keperluan sebenar industri pertahanan.

"Apa yang penting, Angkatan Tentera Darat, Laut dan Udara dapat menetapkan spesifikasi yang dikehendaki.

"Ia bukan bermakna kerajaan membeli sesuka hati tetapi perkhidmatan yang memerlukan peralatan berkenaan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan