TAMPIN: Pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak akan mempengaruhi sentimen pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendedahan laporan berkemungkinan bertujuan menimbulkan kebencian dan ketidakbolehpercayaan terhadap sesebuah gabungan.
"Rakyat terutama pengundi di Negeri Sembilan ini sangat bijak dalam melakukan penilaian.
"Di minda dan hati, mereka tahu calon mana dan gabungan mana mereka akan undi. Jadi, kalau ada niatnya tidak betul, saya harap niat itu akan dibolak-balikkan hatinya oleh Allah SWT," katanya pada Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melahirkan keyakinan Kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berhubung TH kepada umum selepas dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, tidak ada kekebalan kepada mana-mana pihak daripada sebarang tindakan sekiranya nama mereka terkait dalam pendedahan RCI TH itu.
"Dapatan siasatan dan kajian itu harus diketahui secara telus.
"Selepas itu, jika ada sebarang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pecah amanah dan salah laku, ada prosesnya untuk dibuat laporan polis dan siasatan dari segi jenayah perdagangan serta aspek perundangan lain.
"Itu boleh dilakukan kemudiannya," katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO, menyokong hasrat Anwar mendedahkan laporan berkenaan kepada umum.
"Rabu ini, saya yakin Perdana Menteri akan membawa ke Kabinet sama ada pendedahan ini perlu dilakukan atau tidak.
"Saya selaku Pengerusi BN yang mana kita mempunyai lapan menteri yang akan menghadiri setiap kali Mesyuarat Jemaah Menteri, mendukung jika hasratnya adalah untuk membentangkan laporan RCI itu kepada umum.
"Laporan itu mesti dinyahkan daripada OSA (Akta Rahsia Rasmi)," katanya.
Beliau juga berharap isu laporan RCI TH tidak dipolitikkan ketika kempen PRN Negeri Sembilan rancak berlangsung.
"Ia harus dilihat secara profesional dan sebarang laporan pengauditan serta siasatan hendaklah menjurus ke arah mencari jalan penyelesaian, bukan mengeruhkan keadaan.
"Keyakinan pelabur dan pencarum kepada TH semakin meningkat, maka jangan dirosakkan semata-mata kerana interpretasi salah terhadap laporan RCI ini," katanya.
























