BH Online
Ringkasan Berita

Kesunyian 'pintu masuk' fahaman digital

KUALA LUMPUR: Rasa sunyi, terpinggir dan tiada tempat bergantung dikenal pasti antara faktor utama menyebabkan remaja dan kanak-kanak mudah terjerumus ke dalam perangkap radikalisasi di alam maya.
Kesunyian 'pintu masuk' fahaman digital

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Rasa sunyi, terpinggir dan tiada tempat bergantung dikenal pasti antara faktor utama menyebabkan remaja dan kanak-kanak mudah terjerumus ke dalam perangkap radikalisasi di alam maya.

Lebih membimbangkan, kumpulan ekstremis semakin agresif mengeksploitasi keadaan itu dengan menawarkan perhatian, persahabatan dan rasa kekitaan sebelum secara perlahan-lahan mempengaruhi pemikiran mangsa menerusi media sosial, aplikasi pemesejan serta permainan video dalam talian.

Hasil analisis Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) mendapati kumpulan terbabit tidak lagi bergantung pada pendekatan bersemuka, sebaliknya teknologi digital menyasarkan generasi muda yang sedang mencari identiti dan penerimaan sosial.

Ketua Pengarah SEARCCT, Datin Paduka Nur Ashikin Mohd Taib, berkata mangsa lazimnya bukan dipilih secara rawak, sebaliknya individu yang berasa keseorangan, kurang mendapat perhatian dan mencari komuniti dapat menerima mereka.

"Ada remaja berasa tidak diterima, terpinggir, tiada kawan dan akhirnya mencari hubungan di alam maya. Apabila ada yang beri perhatian, memuji atau membuatkan mereka rasa dihargai, remaja mudah tertarik kerana berasa diterima sebagai sebahagian daripada komuniti itu," katanya.

Beliau berkata, proses perekrutan lazimnya bermula melalui interaksi santai ketika bermain permainan video atau bersembang di platform dalam talian sebelum hubungan itu berkembang menjadi lebih rapat.

Daripada hubungan yang awalnya kelihatan tidak berbahaya, perekrut secara berperingkat memperkenalkan kandungan berunsur keganasan sehingga mangsa menganggap fahaman berkenaan sebagai sesuatu yang normal.

"Dulu mereka mendekati sasaran secara bersemuka, sekarang semua di alam maya melalui media sosial, permainan video dan aplikasi komunikasi. Apabila terdedah pada kandungan ekstrem berulang kali, perkara yang mulanya dianggap salah, akhirnya boleh dilihat sebagai sesuatu yang biasa," katanya.

Menurut Nur Ashikin, kumpulan ekstremis memahami bahawa kebanyakan remaja lebih mudah dipengaruhi melalui sokongan emosi berbanding ganjaran kewangan.

Justeru, katanya, pendekatan psikologi secara halus digunakan dengan memberi perhatian, pujian dan mewujudkan rasa kekitaan bagi membina kepercayaan mangsa sebelum mempengaruhi cara pemikiran mereka.

"Lebih membimbangkan, radikalisasi kini berlaku jauh lebih pantas. Ada laporan menunjukkan seseorang boleh dipengaruhi dalam tempoh singkat sekiranya interaksi berlaku secara intensif. Kumpulan ekstremis turut eksploitasi ekosistem permainan dalam talian yang ada fungsi komunikasi antara pemain," katanya.

Jelasnya, platform berbentuk sandbox, iaitu permainan yang punya ruang interaksi terbuka dan permainan berorientasikan pertempuran membolehkan perekrut menjalin hubungan secara peribadi dengan mangsa.

"Mereka kemudian membawa mangsa ke kumpulan sembang tertutup seperti Telegram atau WhatsApp, mungkin bermula perbualan biasa seperti berkongsi minat dan hobi. Dari situ, mereka kenal pasti individu mudah dipengaruhi.

"Kemudian individu itu dibawa ke kumpulan tertutup. Kebanyakan perekrut guna akaun palsu dan identiti tanpa nama menyebabkan ramai tidak sedar mereka sebenarnya sedang dimanipulasi.

"Apabila hubungan itu semakin rapat, mereka akan mula pengaruhi cara berfikir mangsa terhadap keganasan dan ideologi tertentu," katanya menegaskan, usaha mencegah dan menangani fahaman pelampau keganasan (PCVE) perlu pendekatan menyeluruh.

Usaha itu, tegasnya, tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya perlukan kerjasama ibu bapa, sekolah, komuniti, institusi agama, pertubuhan masyarakat sivil serta penyedia platform digital bagi memperkukuh literasi digital, sokongan emosi dan daya tahan golongan muda.

"Kesedaran awal, literasi digital, sokongan emosi dan penglibatan komuniti amat penting dalam membina daya tahan belia. Dalam banyak keadaan, pencegahan lebih baik daripada tindakan selepas seseorang sudah terpengaruh dengan fahaman ekstremis," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan