SEREMBAN: Sekumpulan warga emas lelaki berbangsa Cina yang sedang bersarapan berhenti seketika daripada menghirup kopi apabila seorang wanita bertudung menyapa lembut bertanya khabar dalam bahasa Mandarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dr Najihatussalehah Ahmad, 60, yang fasih berbahasa Mandarin, meneruskan perbualan memohon mereka mengundi calon PAS mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Lobak, P M Kumar.
Menariknya, perbualan berlanjutan dengan kumpulan lelaki berkenaan memuji kefasihan beliau bertutur bahasa itu sebelum kempen diteruskan ke meja berhampiran.
@nismilan.kini Hebat jentera wanita PAS! serba boleh! #fyp #foryoupage #negerisembilan #nismilankitojago #nismilanundipn ♬ original sound - Nismilan Kini
Dr Najihatussalehah yang juga Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS berkata, tanggungjawab sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional menuntut beliau mendekati masyarakat bukan Melayu, termasuk membantu calon PAS dan PN berkempen.
"Dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini, kami membantu calon PAS, P M Kumar yang bertanding di DUN Lobak memandangkan kira-kira 70 peratus pengundi kawasan ini adalah masyarakat Cina.
"Kita menggunakan semua platform sama ada fizikal mahu pun dalam talian bagi memperkenalkan calon supaya beliau mudah berinteraksi dan disenangi masyarakat berbilang kaum di kawasan ini.
"Kita bawa Muslimat PAS yang fasih berbahasa Mandarin, Hokkien dan Hakka selain Tamil untuk mendekati pengundi," katanya ditemui pada Program Sehari Bersama Penduduk Flat Tun Dr Ismail di sini, hari ini.
Dr Najihatussalehah fasih berbahasa Mandarin ketika dihantar bersekolah aliran Cina dari usia enam hingga 12 tahun.
"Semasa di tadika, saya sudah mula belajar bahasa Mandarin dan memasuki sekolah Cina hingga Tahun Enam. Saya amalkan bahasa itu hingga pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaya (UM).
"Malah, saya hantar anak bongsu untuk mempelajari bahasa Mandarin supaya lebih mudah dia bergaul," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Mengulas perjalanan kempen di DUN Lobak, beliau berkata, jentera tetap berkempen bersungguh-sungguh walaupun menyedari sebahagian besar pengundi sudah membuat pilihan.
"Kita tidak terlalu mengharapkan kemenangan di DUN Lobak tetapi memadai jika mampu meraih lebih banyak undi di kawasan ini kerana pada pilihan raya negeri terdahulu, kami cuma mendapat kira-kira 800 undi.
"Kalau kali ini angka itu meningkat, itu sudah baik," katanya.
Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Perak berkata, aktiviti diadakan juga bagi menerangkan kepada masyarakat bukan Islam mengenai PAS yang kerap disalah anggap.
"Kita mahu masyarakat bukan Islam faham bahawa PAS bukan parti ekstrem seperti dicanang oleh musuh politik.
"Dengan pendekatan sebegini, kami boleh memasuki kawasan masyarakat majoriti bukan Melayu dan Islam seperti di DUN Lobak," katanya.
























