KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah menafikan dakwaan tular di media sosial berlaku kesesakan melampau di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) negeri ini sehingga mengakibatkan ramai tahanan warga Filipina meninggal dunia.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata dakwaan berkenaan adalah tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan.
Katanya, gambar yang tular di media sosial juga bukan merujuk kepada mana-mana Depoh Tahanan Imigresen di bawah seliaan Imigresen Sabah.
"Semua tahanan warga Filipina yang ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.
"Sepanjang tempoh tahanan, mereka diberikan layanan dan perlindungan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua tahanan turut menerima kemudahan asas termasuk makanan yang disediakan mengikut jadual serta menu dan keperluan nutrisi yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam pada itu, beliau menjelaskan proses penghantaran pulang warga Filipina melalui laluan kapal dari Sandakan ke Zamboanga yang sebelum ini menjadi laluan utama repatriasi telah digantung oleh pihak berkuasa Filipina sejak Februari lalu.
"Keadaan itu memberi kesan kepada kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal.
"Bagaimanapun, bagi memastikan proses repatriasi terus berjalan, Imigresen Sabah menggunakan laluan alternatif iaitu penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao," katanya.
Katanya, pelaksanaan penghantaran pulang melalui laluan alternatif itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan.
























