BH Online
Ringkasan Berita

Generasi muda, kanak-kanak berisiko menjadi 'pembunuh'

Kandungan NVE dorong remaja melihat keganasan sebagai jalan luah kemarahan
Generasi muda, kanak-kanak berisiko menjadi 'pembunuh'

Foto hiasan.

Kandungan NVE dorong remaja melihat keganasan sebagai jalan luah kemarahan

Oleh Nurhanim Osman dan Nuratikah Athilya Hassan

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Golongan rentan, terutama remaja dan kanak-kanak kini terdedah kepada ancaman keganasan baharu menerusi ruang maya atau digital, dikenali Nihilistic Violent Extremism (NVE) atau Ekstremisme Keganasan Nihilistik.

NVE didorong oleh kepercayaan bahawa kehidupan, masyarakat atau sistem tidak lagi mempunyai nilai atau makna sehingga seseorang mungkin menganggap keganasan sebagai cara untuk menimbulkan kemusnahan, ketakutan atau kekacauan tanpa matlamat politik, agama atau ideologi yang jelas.

Ancaman itu tidak lagi didorong oleh agenda politik atau agama seperti kumpulan pengganas konvensional, sebaliknya lahir daripada rasa kecewa, kebencian terhadap masyarakat dan kecenderungan melihat keganasan sebagai jalan meluahkan kemarahan atau dendam.

Lebih membimbangkan, generasi muda yang berdepan tekanan psikologi, pernah menjadi mangsa buli, berasa terasing atau bergelut dengan masalah emosi dikenal pasti paling mudah dipengaruhi NVE yang disebarkan melalui media sosial, permainan video dan pelbagai platform dalam talian.

Perkembangan itu semakin mendapat perhatian pada peringkat antarabangsa apabila Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dilaporkan mengesan lebih 350 individu dikaitkan dengan siasatan NVE di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada Februari lalu.

Di Asia Tenggara pula, insiden serangan bersenjata di sebuah sekolah di Filipina pada 22 Jun lalu yang mengorbankan tiga pelajar dan mencederakan 20 yang lain turut dipercayai mempunyai elemen NVE selepas dua suspek berusia 14 dan 15 tahun didakwa terpengaruh dengan kandungan ekstrem dalam talian.

Faktor pendorong berbeza

Mengulas ancaman berkenaan, Timbalan Pengarah Pusat Kajian Keamanan, Dialog dan Xenofobia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ahmad El-Muhammady, berkata walaupun NVE mempunyai persamaan dengan ekstremisme lain kerana menerima keganasan sebagai penyelesaian, faktor yang mendorong pelakunya jauh berbeza.

"Persamaan yang kita boleh lihat ialah mereka menerima keganasan (acceptance of violence). Mereka percaya keganasan adalah cara untuk menyelesaikan masalah dan meluahkan perasaan marah serta dendam terhadap apa yang terbuku dalam hati mereka.

"Mereka juga mengagungkan individu yang menggunakan atau memilih jalan keganasan seperti penyerang sekolah, pelaku tembakan beramai-ramai atau serangan menggunakan pisau.

"Ciri-ciri NVE pula ialah mangsanya lebih muda, biasanya dalam kalangan remaja belasan tahun, berdepan tekanan psikologi seperti menjadi mangsa buli di sekolah atau dalam talian, bersifat menyendiri serta mendapat inspirasi daripada pelaku serangan ekstremis kulit putih seperti Brenton Tarrant dan elemen gaming," katanya kepada BH.

Jelasnya, berbeza dengan kumpulan pengganas seperti IS atau DAESH yang menggunakan naratif agama atau politik sebagai justifikasi melakukan keganasan, NVE lebih banyak dipengaruhi faktor psikologi serta rasa tidak puas hati terhadap kehidupan.

"Mungkin elemen ideologi atau fahaman radikal itu masih ada, tetapi ia tidak begitu dominan berbanding faktor tekanan psikologi dan rasa tidak puas hati. Dalam NVE, ia bukan semata-mata kerana seseorang itu jadi mangsa buli, tetapi kita melihat orientasi lebih dominan dalam diri individu terbabit.

"Mungkin mereka mempunyai pengalaman sebagai mangsa buli, mengalami tekanan hidup atau kekecewaan, tetapi perkara yang lebih dominan ialah kecenderungan mereka melihat keganasan sebagai bentuk ekspresi," katanya.

Ahmad El-Muhammady berkata, generasi muda lebih mudah dipengaruhi kerana mereka generasi yang paling hampir dengan internet, permainan video dan media sosial.

Tambahnya, pendedahan berulang kepada kandungan yang menormalisasikan keganasan boleh mempengaruhi cara seseorang berfikir, mengurus emosi dan melihat keganasan sebagai sesuatu yang biasa.

"Dalam permainan video, ungkapan seperti 'saya akan bunuh awak' atau 'saya akan hapuskan awak' mungkin dianggap biasa kerana ia sebahagian daripada permainan.

"Namun dalam kehidupan sebenar, perkataan seperti itu bukan sesuatu yang digunakan dalam perbualan biasa. Apabila keganasan dinormalisasikan, ia boleh mempengaruhi cara seseorang melihat tindakan terbabit," katanya.

Beliau berkata, permainan video juga boleh mewujudkan satu bentuk realiti berbeza sehingga menyebabkan sesetengah individu semakin sukar membezakan antara dunia maya dengan realiti sebenar.

"Permainan video meletakkan seseorang dalam keadaan pemikiran dan emosi tertentu yang boleh mengubah tingkah laku atau cara mereka berinteraksi dengan orang lain," katanya.

"Kadangkala apabila mereka terlalu obses dengan kehidupan di alam maya, mereka tidak dapat membezakan antara kehidupan fantasi yang wujud dalam alam gaming dengan realiti kehidupan sebenar," katanya.

Sehubungan itu, tegasnya, isu NVE perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia bukan sekadar membabitkan keganasan, sebaliknya turut dipengaruhi faktor psikologi, institusi keluarga, persekitaran sosial, rakan sebaya serta budaya digital yang semakin berkembang.

Video Terkini

Berita Berkaitan