KUALA LUMPUR: Muafakat di antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala perbezaan.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ia terbukti menerusi tawaran gabungan itu yang dirangka bagi melengkapi manifesto diketengahkan BN pada PRN Negeri Sembilan.
Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata ia antara lain adalah ikhtiar bersama PN dan BN bagi membentuk kerajaan Negeri Sembilan yang stabil, amanah dan berkeupayaan.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai untuk membina harapan baharu dan mencipta masa hadapan Negeri Sembilan yang lebih gemilang.
"Manifesto bukan sekadar janji, tetapi amanah yang mesti ditunaikan. PN mengemukakan 14 tawaran tambahan, berteraskan enam bidang utama, iaitu pentadbiran, belia dan keluarga, ekonomi, kebajikan, pendidikan serta pekerjaan.
"Setiap komitmen dirangka secara realistik dan bertanggungjawab, mengambil kira kemampuan kewangan negeri serta keperluan sebenar rakyat.
"Ini membabitkan pelbagai aspek, daripada kos sara hidup dan perumahan, kepada peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan ekonomi serta kebajikan masyarakat pelbagai kaum serta agama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, PN melancarkan 14 tawaran tambahan menerusi enam teras sebagai sandaran gabungan itu dalam manifesto bertemakan 'PN Sepakat Hebatkan Negeri Sembilan' bagi PRN kali ini.
Enam teras itu merangkumi pentadbiran, belia dan ekonomi serta kebajikan, pendidikan dan pekerjaan.
























