Senario politik hari ini menyaksikan semakin ramai wakil rakyat memanfaatkan ruangan digital bagi melaporkan aktiviti harian, menyampaikan maklumat perkhidmatan, serta menyelami denyut nadi pengundi di kawasan masing-masing. Berikut pandangan dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menerusi segmen Podcast BH Borak Harini.
Soalan (S): Tanpa platform media sosial, adakah seorang wakil rakyat masih mampu berkhidmat dan mengambil hati pengundi di kawasannya?
Jawapan (J): Jika tiada media sosial, kita masih boleh bekerja di lapangan dan berhubung dengan masyarakat, tetapi pendedahan serta liputannya tidak luas. Ia terhad kepada orang kita temui secara fizikal sahaja dan pendedahan itu disebarkan melalui kata-kata. Ruang lingkup tindakan kita berkhidmat serta ilmu ingin dikongsikan tidak dapat disebarluaskan.
Sekiranya keadaan memaksa kita berkhidmat tanpa media sosial, kita perlu kembali kepada kaedah sebelum ini. 'Perbualan di dapur' menjadi sangat penting menggantikan media sosial, manakala kedai kopi menjadi tempat berkongsi cerita dengan harapan berita dihebahkan dari mulut ke mulut. Walaupun kaedah ini ada pengaruh daripada ketua setempat, ruang lingkup penyebarannya amat terbatas berbanding media sosial.
S: Adakah masyarakat hari ini lebih mengenali wakil rakyat menerusi media sosial atau melalui pendekatan turun padang?
J: Kedua-dua pendekatan ini kena datang serentak. Jika kita tidak turun berkhidmat, mana mungkin kita mempunyai bahan untuk dikongsikan kepada umum. Orang mungkin kata kita boleh berlakon, tetapi berapa banyak boleh dilakonkan kerana perkongsian saya kebanyakannya secara organik berdasarkan kejadian sebenar dengan sedikit suntingan menghiburkan. Generasi muda jarang mencari maklumat dalam bentuk fakta tegar, sebaliknya menerusi hiburan. Oleh itu, kita kena kreatif menyampaikan maklumat berkhidmat dalam bentuk hiburan yang penuh dengan pengisian.

S: Adakah Datuk sendiri menguruskan akaun media sosial memandangkan jadual harian wakil rakyat sangat padat, atau dibantu oleh pasukan khas?
J: Saya memberikan tumpuan utama kepada dua platform sahaja iaitu Facebook dan TikTok. Di TikTok, saya mempunyai seorang editor merakam aktiviti harian hampir setiap masa di lapangan. Rakaman aktiviti seharian itu boleh menghasilkan pelbagai kandungan, manakala rakaman selama sejam mampu menghasilkan dua atau tiga kandungan berbeza untuk dikongsikan.
Bagi Facebook pula, saya mengarang, menulis dan menaip sendiri semua hantaran. Sebab itu gaya penulisan di Facebook sentiasa sama, tidak formal dan disusun terus daripada hati. Gambar tugasan diberikan pegawai, tetapi teksnya ditulis sendiri.
S: Memandangkan penggunaan media sosial terdedah kepada kecaman dan komen negatif netizen, bagaimanakah Datuk mengendalikan serta menyesuaikan diri dalam situasi itu?
J: Apabila kita menghasilkan kandungan, sikit sebanyak akan ada pihak terasa, jadi kecaman itu kena diterima. Saya membaca hampir setiap komen kerana mungkin ada benarnya dan boleh dijadikan tempat rujukan atau teguran diri. Sekiranya kita sentiasa menganggap teguran itu sebagai kecaman semata-mata, ia akan merosakkan diri sendiri.

S: Sesetengah pihak berpendapat perkongsian aktiviti wakil rakyat di media sosial sekadar kandungan atau gimik politik semata-mata?
J: Pengikut di media sosial hanya melengkapkan ekosistem sebagai ejen sebaran, tetapi rakyat akan menilai sama ada apa yang dipaparkan itu realiti sebenar atau sekadar lakonan. Rakyat sebenarnya mahu tahu apa usaha kita lakukan untuk mereka. Rakyat tidak peduli aktiviti peribadi wakil rakyat, sebaliknya mahu melihat perkhidmatan nyata diusahakan untuk kawasan mereka.
S: Apakah tanggungjawab, prinsip dan etika yang Datuk pegang dalam memuat naik sesuatu kandungan di platform media sosial?
J: Sebelum sesuatu kandungan dikongsikan, saya menyemak terlebih dahulu dan hampir semua video mendapat persetujuan pihak terbabit. Bagi isu serius membabitkan kanak-kanak, kebenaran keluarga wajib dipatuhi. Prinsip kedua ialah jangan menipu orang kerana pemimpin, ejen rujukan masyarakat. Jika sesuatu masalah belum selesai, nyatakan secara jujur ia belum selesai. Jangan disebabkan takut kepada kecaman kita mula menipu, kerana itu akan berlanjutan dan mendatangkan masalah lebih besar kelak.
S: Jika Datuk berpeluang mengubah satu budaya penggunaan media sosial dalam kalangan ahli politik masa kini, apakah perkara utama mahu diubah?
J: Saya mahu mengubah sikap ahli politik berhenti menghina atau menyerang pihak lawan di media sosial kerana ia bukan satu keperluan. Hakikatnya, masyarakat dan pengundi semakin muak dengan perbuatan sedemikian. Sama ada kerajaan mahupun pembangkang, ceritalah mengenai diri sendiri dan usaha dilakukan terlebih dahulu berbanding sibuk menceritakan keburukan orang lain.
Apabila terlalu sibuk bercerita buruk hal pihak lawan, kita terlupa keburukan sendiri dan lalai menceritakan apa yang diusahakan untuk rakyat. Saya memilih untuk tidak bercerita mengenai pihak lawan di media sosial kerana tidak perlu bergantung atau mengharapkan kelemahan orang lain untuk menampakkan diri kita kuat di mata masyarakat.
























