BH Online
Ringkasan Berita

'Tak boleh jual minyak masak paket bersubsidi kepada Rohingya, pemegang kad UNHCR' - KPDN Kelantan

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memberi amaran kepada mana-mana peniaga supaya tidak menjual minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing termasuk etnik Rohingya.
'Tak boleh jual minyak masak paket bersubsidi kepada Rohingya, pemegang kad UNHCR'  - KPDN Kelantan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuff

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memberi amaran kepada mana-mana peniaga supaya tidak menjual minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing termasuk etnik Rohingya.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuff, berkata orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada pihaknya sekiranya mengesan terdapat mana-mana peniaga berbuat demikian.

"Umum tahu bekalan minyak masak paket bersubsidi hanya untuk warga Malaysia sahaja dan warga asing termasuk Rohingya tidak dibenarkan membeli barangan bersubsidi.

"Setakat ini kita belum menerima aduan daripada mana-mana pihak namun kita mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai sekiranya mengesan berlaku penjualan kepada warga asing.

"Penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing tidak sepatutnya berlaku memandangkan pembelian barangan bersubsidi itu menggunakan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS)," katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Bagaimanapun katanya, penggunaan eCOSS di Kelantan belum digunakan secara menyeluruh terutama membabitkan daerah luar bandar yang berdepan isu jaringan internet.

"Bagi daerah yang tidak menggunakan aplikasi eCOSS, pegawai KPDN sentiasa melakukan pemantauan di kedai bagi melihat pergerakan bekalan berkenaan bagi mengelak berlaku ketirisan.

"Kita juga memberi amaran kepada mana-mana peniaga supaya tidak menjual barangan subsidi itu kepada warga asing. Pemegang kad Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak melayakkan mereka membeli barangan bersubsidi," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan