Ikuti pendedahan dan luahan Muhyiddin kepada Wartawan BH Ahad, Suzalina Halid dalam pertemuan eksklusif, baru-baru ini.
Soalan (S): Boleh Tan Sri jelaskan sepenuhnya punca krisis BERSATU sehingga ramai meninggalkan parti dan akhirnya menubuhkan Parti Wawasan Negara (WAWASAN)?
Jawapan (J): Isu dalaman BERSATU sudah bermula agak lama. Selepas saya meletakkan jawatan Perdana Menteri, sudah ada pihak cuba singkirkan saya sebagai Presiden dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN). Melihat keadaan ini saya menyatakan hasrat untuk berundur sebagai Presiden BERSATU pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU pada 2023, tetapi ditolak secara sebulat suara oleh perwakilan. Bagi tidak mengecewakan ahli parti, saya buat keputusan berkhidmat selama sepenggal sahaja lagi iaitu penggal ini adalah penggal terakhir saya.
S: Bagaimana boleh timbul konflik dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin?
J: Saya diberikan mandat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU untuk mengusahakan pelan penggantian kepemimpinan parti. Bagi memastikan BERSATU kekal utuh, saya menamakan Hamzah sebagai Timbalan Presiden. Dengan sebab itu beliau menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti. Malangnya, selepas menang tanpa bertanding, beliau melakukan perkara bercanggah dengan disiplin parti.
Dalam perlembagaan parti, Timbalan Presiden mesti membantu Presiden. Tetapi apa yang berlaku ialah sebaliknya. Terdapat gerakan didalangi beliau dalam kalangan ketua bahagian mendesak saya meletak jawatan. Mungkin mereka fikir jika saya meletak jawatan, Hamzah akan menjadi Pemangku Presiden.
S: Bilakah Tan Sri sedar wujud gerakan menjatuhkan itu?
J: Apabila saya fikirkan semula, mungkin inilah 'grand design' dirancang dari awal. Beliau tidak bertanding melawan saya sebagai Presiden, tetapi mendapatkan 'endorsement' saya untuk beliau menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden. Kemudian dibuat gerakan menjatuhkan saya supaya beliau boleh menjadi Pemangku Presiden tanpa perlu bertanding.
Bagi saya, ini tidak 'gentlemen'. Jadi, hasrat saya untuk melihat parti BERSATU utuh dengan menamakan beliau sebagai Timbalan Presiden untuk mengganti saya menjadi sia-sia. Kesan daripada tindakan itu BERSATU berpecah belah sehinggakan tindakan disiplin terpaksa diambil untuk menstabilkan parti.
S: Apakah rasional sebenar tindakan disiplin memecat dan menggantung pemimpin BERSATU, terutama bergelar wakil rakyat. Tidakkah ia akhirnya melemahkan BERSATU?
J: la adalah tindakan terakhir. Kalau tanya saya secara peribadi, saya tidak mahu tindakan disiplin diambil terhadap sesiapa pun. Kalau boleh saya mahu setiap ahli patuh disiplin parti supaya parti menjadi lebih kukuh dan kuat. Tetapi apakan daya. Pelanggaran disiplin berlaku secara terang-terangan dan berleluasa sehingga menyebabkan perpecahan dalam parti.
Kalau ikutkan, tindakan disiplin boleh diambil lebih awal, tetapi saya cuba mengambil pendekatan damai, termasuk mengusahakan pelan penggantian kepemimpinan parti dengan menamakan Hamzah sebagai timbalan saya. Tujuan saya supaya parti kekal utuh. Tetapi usaha ini tidak berhasil kerana komplot memecah-belahkan parti menjadi semakin ganas dan tidak terkawal.
Akhirnya tindakan disiplin terpaksa diambil untuk menstabilkan parti. Ada risiko daripada tindakan ini. Tetapi kita perlu menghadapinya dan bina semula parti.
Siapa putuskan hubungan, dia patut keluar PN
S: PAS sudah menceraikan BERSATU, tetapi dua parti ini masih dalam PN. Mengapa BERSATU masih hendak bernaung di bawah PN lagi?
J: Yang putus hubungan ialah BERSATU dan PAS. BERSATU masih ahli PN sah menurut perlembagaan parti. Ia bukan soal BERSATU masih hendak bernaung atau tidak. la hak BERSATU sebagai parti anggota. Jika memutuskan hubungan dengan parti anggota menjadi asas untuk parti diputuskan hubungan meninggalkan gabungan, ini akan mencipta suatu kes duluan tidak sihat.
Andai kata esok GERAKAN memutuskan hubungan dengan PAS. Adakah PAS patut keluar PN atau GERAKAN? Kalau sudah ada rujukan, parti diputuskan hubungan mesti keluar PN, maka PAS patut keluar PN. Ini akan menyebabkan gabungan politik terbabit menjadi bercelaru.
Kalau mengikut amalan terdahulu, parti memutuskan hubungan mesti keluar. Misalnya, PAS pernah keluar Pakatan Rakyat apabila tidak sehaluan dengan parti dalam gabungan. BERSATU juga pernah keluar Pakatan Harapan (PH) apabila ada percanggahan dari segi dasar.
Sepatutnya kalau kita tidak puas hati dengan kawan dalam satu rumah, kitalah keluar. Bukan kita paksa kawan kita keluar. Ini tidak masuk akal. Tetapi mungkin PAS memikirkan PN saya asaskan ini ada nilai, maka dia nak bergayut kepada PN dan buat perkara memaksa BERSATU supaya keluar antaranya menafikan hak BERSATU bertanding menggunakan logo PN.
S: Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, PAS tidak bantu kempen BERSATU, kini di PRN Negeri Sembilan, BERSATU sendirian dan PAS bawa PN sokong Barisan Nasional (BN). Apa maksudnya ini?
J: Ya, maksudnya PAS dan BERSATU sudah putus hubungan. Kita tidak bergantung kepada dia dan dia tidak bergantung kepada kita. Walaupun BERSATU masih parti anggota PN sah, tetapi ruang untuk BERSATU menjadikan PN sebagai wadah utama semakin tertutup. Ini bukan pilihan BERSATU tetapi dipaksakan ke atas kami. Maka, mesti memikirkan pembentukan gabungan baharu sealiran dengan BERSATU dan boleh membawa perjuangan parti ke hadapan. BERSATU pengasas PN. Tiada sesiapa boleh memaksa BERSATU meninggalkan PN. Jika BERSATU memutuskan meninggalkan PN, kita boleh keluar pada bila-bila masa.
S: Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), apakah keutamaan Tan Sri terhadap blok pembangkang?
J: Sekarang kita sudah tidak tahu siapa pembangkang siapa kerajaan. Masih adakah blok pembangkang? PN sebelum ini blok pembangkang tunggal di Parlimen sudah bekerjasama dengan BN iaitu parti kerajaan. PN menjadi parti prokerajaan.
Setakat hari ini hanya BERSATU tinggal parti pembangkang, selain parti lain berada di luar blok kerajaan dan mereka tidak mempunyai kerusi di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) satu kerusi Parlimen iaitu di Muar. Saya sudah memulakan perbincangan secara tidak rasmi dengan beberapa parti ini untuk meneroka bentuk kerjasama menjelang PRU16.
S: Jika keputusan PRN Negeri Sembilan tidak memihak kepada BERSATU, apa tindakan Tan Sri selepas ini?
J: Apapun keputusannya, saya sudah menyatakan hasrat dalam Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU tiga tahun lalu ini penggal terakhir saya sebagai Presiden. Jadi, perubahan kepemimpinan untuk menyegarkan semula BERSATU dan membawa parti ke tahap lebih tinggi akan berlaku.
S: Adakah BERSATU sedia bekerjasama dengan PH untuk hadapi PRN Melaka atau PRU16 atau pintu persefahaman sudah tertutup?
J: Kita belum berbincang mengenai perkara ini pada peringkat parti. Apapun jika ada cadangan sedemikian ia perlu dibincangkan pada peringkat parti terlebih dahulu.
S :Apa pandangan Tan Sri dengan agenda Rumah Bangsa, adakah sedia bersama atau kekal menolaknya?
J: Agenda Rumah Bangsa adalah agenda UMNO. Itu hal rumah tangga UMNO. BERSATU tidak terbabit dalam agenda itu, maka tidak timbul soal BERSATU hendak bersama atau menolak. Tetapi jika ada perkara khusus untuk kebaikan orang Melayu dan rakyat secara umumnya BERSATU tiada halangan untuk berbincang.
























