BH Online
Ringkasan Berita

Genap seminggu rentak kempen masih 'biasa-biasa', sederhana

GENAP seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berlalu dan ramai beranggapan rentaknya agak perlahan berdasarkan pergerakan kempen yang dilihat masih ‘biasa-biasa’.
Genap seminggu  rentak kempen masih  'biasa-biasa', sederhana

Ahmad Zahid bersama calon BN DUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan calon DUN Chennah, Siow Kong Choon pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di Kampung Orang Asli Tohor, kelmarin. - Foto BERNAMA

GENAP seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berlalu dan ramai beranggapan rentaknya agak perlahan berdasarkan pergerakan kempen yang dilihat masih 'biasa-biasa'.

Perang bendera tidak keterlaluan, manakala ceramah juga dibuat dalam skala sederhana dan gerak kempen rumah ke rumah serta bertemu orang ramai tetap menjadi pendekatan utama.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, turun dua kali ke Negeri Sembilan dengan jadual padat, namun kehadirannya ke Port Dickson kelmarin tidak membabitkan acara berkaitan parti.

Begitu juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang membahagikan masa antara membantu kempen calon dan menyantuni masyarakat setempat menerusi program Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajuinya.

PRN Negeri Sembilan ke-16 ini secara makronya masih menampilkan persaingan dua gabungan besar iaitu PH dan BN yang membentuk pentadbiran Kerajaan Perpaduan peringkat negeri penggal lalu.

Keadaan itu sedikit mengocak pembukaan kempen dengan insiden 'berbalas serangan' antara kedua-dua kem hingga Anwar mengeluarkan peringatan supaya fragmen Kerajaan Persekutuan tidak dikaitkan dengan kempen di lapangan.

Ia semestinya rumit di sebalik dua baju yang disarung - baju Kerajaan Perpaduan dan baju parti berlainan rumah. Emosi yang menguasai membawa kepada kisah pecat memecat sebelum isu dimatikan dengan beberapa keping foto pimpinan negara mesra ketawa menghadiri mesyuarat mingguan Jemaah Menteri.

PH dan BN masing-masing sudah mengeluarkan manifesto, menghampar pelbagai tawaran terbaik buat rakyat Negeri Sembilan sebagai panduan sebelum memangkah kertas undi, 1 Ogos ini.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat dan Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min, masing-masing merangka strategi sambil mengisi seberapa banyak slot untuk berkempen.

Tok Mat yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak mengambil mudah misi kali ini walaupun ramai menjangkakan Menteri Luar itu kekal menjadi pilihan.

Cabarannya sedikit berbeza bagi Tok Min yang berpindah dari DUN Sikamat yang disandang selama empat penggal bermula 2008 ke kerusi DUN Linggi, dilabel sebagai kerusi tradisi BN kerana tidak pernah terlepas ke parti lain.

Kempen Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam misi mempertahan kerusi DUN Chennah turut diikut rapat ketika lawannya yang juga Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan, Siow Kong Choon, mula menjadi perhatian.

Bagi kerusi bandar dengan majoriti pengundi Cina, kempen kedua-dua calon agak panas dan pantas, dengan antara isu kerap ditanya pengundi ialah calon mana yang mampu berada di kawasan setiap masa.

Sebagai orang kuat parti dan menggalas tugas Menteri Pengangkutan, Loke semestinya mempunyai pelbagai komitmen namun beliau menegaskan semua itu tidak pernah menghalangnya daripada memberi fokus kepada DUN Chennah.

Ketika setiap parti memerlukan dan menghargai kehadiran jentera parti serta tenaga kerja dari negeri lain untuk membantu, bukan semuanya berkesan pada setiap masa.

Isu yang dibawa juga berperanan dalam meyakinkan pengundi. Kempen di kampung perlu menyentuh soal kampung, perihal harga getah dan sawit, bumbung dewan bocor dan lampu jalan rosak di hujung kampung hingga sukar untuk ke surau setiap subuh.

Sama juga kempen di pekan yang harus diisi dengan cerita dan permasalahan setempat. Longkang tersumbat yang menjadi punca banjir kilat atau ketiadaan lampu isyarat di persimpangan T yang mengundang risiko.

Dari satu sisi, kempen PH memiliki momentum konsisten dengan menangani isu hiperlokal atau mengikut kawasan.

Pendekatan berhemah itu dilihat cermat dan berkesan kerana golongan sasar berasakan ada yang mahu mendengar luahan permasalahan mereka, walaupun sekecil longkang tersumbat tetapi besar maknanya.

Pada masa sama, strategi seperti itu juga boleh memakan diri apabila ada yang membangkitkan soal janji menangani sesuatu keadaan seperti banjir kilat tetapi belum menampakkan sebarang perubahan.

Jentik emosi penyokong tegar

Dari segi optik, BN yang menjalin persefahaman bersama Perikatan Nasional (PN) sedikit menjentik emosi penyokong tegar apabila pemimpin UMNO dan PAS berkongsi pentas, berbicara dalam nada yang sama.

Wadah politik terbesar orang Melayu yang dibentuk menerusi persefahaman BN dan PN bermula dengan PRN Negeri Sembilan, mungkin menjadi langkah strategik ke arah dominasi suara majoriti, sekali gus menamatkan sengketa berzaman lamanya.

Video tular memaparkan seorang Muslimat PAS fasih berbahasa Mandarin membantu kempen calon BN berbangsa India dengan mendekati beberapa lelaki kaum Cina di meja makan, melambangkan BN dan PN perlahan-lahan dapat mengatur langkah seiring untuk berdepan PRN ini.

BERSATU yang mengasingkan diri daripada PN dan bertanding atas logo sendiri, dilihat berdepan kesukaran mencari tempat bagi meyakinkan pengundi Negeri Sembilan, namun masih ada masa bagi parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu meneruskan kempennya.

Enam hari mendatang pastinya mengubah corak kempen dan gerak kerja jentera. Ada yang perlu diperkemas, ada yang mesti ditingkatkan dan mungkin juga, ada yang wajar ditinggalkan.

Politik tidak terhenti setakat kempen atau tawaran manifesto. Paling penting, politik melihat kejujuran. Itu yang dinantikan rakyat Negeri Sembilan.

Video Terkini

Berita Berkaitan