REMBAU: Barisan Nasional (BN) tidak akan menaikkan cukai pintu di Negeri Sembilan dalam tempoh lima tahun sekiranya kembali mentadbir selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), 1 Ogos ini.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan negeri tidak seharusnya meningkatkan pendapatan dengan mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat, sebaliknya menjana hasil menerusi pembangunan.
"Kita tidak akan menaikkan sebarang cukai pintu untuk lima tahun yang akan datang, kita nak cari pendapatan negeri bukan dengan cukai orang.
"Kita mahu pendapatan kita meningkat bukan kita kenakan cukai yang tinggi kepada rakyat, tapi kita nak bangunkan negeri. Daripada pembangunan, kita akan dapat pendapatan bukan dengan cukai orang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bersama masyarakat India di Taman Intan, Rantau, di sini, malam tadi.
Mohamad yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, berkata rakyat yang mahu menjalankan perniagaan kecil perlu diberi peluang berbuat demikian selagi mana menjaga aspek keselamatan dan kebersihan.
"Siapa pun nak berniaga, berniagalah asalkan jaga keselamatan, jaga kebersihan. Zaman sekarang zaman ekonomi. Kalau isteri pandai buat nasi lemak, kalau isteri pandai buat kuih, apa salah dia buka gerai, jual kuih, jual nasi lemak," katanya.
Mohamad berkata, kerajaan perlu meningkatkan pendapatan melalui pembangunan dan aktiviti ekonomi, bukannya dengan mengenakan lebih banyak cukai kepada rakyat yang sudah berdepan kos sara hidup tinggi.
"Orang sudah terbeban dengan kos hidup yang tinggi, nak cukai pula lagi. Kita mesti buat entiti negeri atau negara ini sebagai entiti yang berniaga.
"Daripada perniagaan kita akan dapat pendapatan, daripada pembangunan kita akan dapat pendapatan, bukan dengan cukai orang," katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata pentadbiran BN di negeri ini sebelum ini melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif bagi membantu masyarakat India.
Antara usaha dilaksanakan ketika beliau menerajui pentadbiran negeri, katanya, ialah menyediakan rumah kepada pekerja estet yang terpaksa meninggalkan ladang selepas sektor perladangan mengalami perubahan.
Tambah Mohamad, kerajaan negeri ketika itu membina kawasan perumahan khusus untuk memastikan golongan terbabit terus mempunyai tempat tinggal.
"Kita buat dasar perumahan untuk pekerja estet. Tak ada orang luar, memang khusus untuk pekerja yang terpaksa keluar dari estet. Mereka sudah duduk dua, tiga generasi di ladang, tetapi terpaksa keluar kerana ladang getah tidak ada lagi.
"Apa nasib mereka kalau kita tidak bantu? Itu sebabnya saya buatkan rumah untuk mereka," katanya menambah pentadbiran BN juga memberi perhatian kepada kemudahan pendidikan masyarakat India menerusi pembinaan beberapa sekolah Tamil baharu.
"Sekolah Tamil Ladang Saga baharu, Ladang Linsum baharu, Ladang Shanghai baharu. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang terbaik di dunia, saya rasa ada di Sendayan.
"Itu adalah hadiah saya kepada rakan-rakan masyarakat India dalam DUN Rantau untuk kita bagi sekolah yang terbaik kepada anak-anak," katanya.
Beliau turut membangkitkan penyelesaian isu tanah membabitkan penduduk di ladang Gatco yang berlarutan selama puluhan tahun sebelum diselesaikan di bawah BN.
"Selama 40, 50 tahun Kampung Pasir tak ada geran. Gatco, ramai orang India dan 47 tahun ada masalah. Saya jadikan (selesaikan masalah). Orang yang asal dulu kita bagi empat hektar, orang yang beli tanah kita bagi dua hektar dan kita nak buat tanaman semula dengan RISDA," katanya.
























