GELANGGANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 menyaksikan beberapa kerusi panas menjadi tumpuan, membabitkan persaingan antara tokoh utama parti dan jangkaan persaingan sengit di kerusi disandang dengan kelebihan undi marginal.
Daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, sekurang-kurangnya empat menjadi perhatian, yang keputusannya kelak mungkin boleh menjadi kayu ukur dan memberi gambaran awal kekuatan sesebuah gabungan atau parti pada PRN kali ini.
Antara kerusi tumpuan adalah DUN Chennah ditandingi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang akan menentang satu-satunya calon daripada Barisan Nasional (BN) mewakili MCA, Siow Kong Choon.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Seremban menyandang kerusi itu sejak 2013, menjadikan Chennah sebagai antara kubu kuat DAP.
Bagaimanapun, kemenangan dengan majoriti 2,200 undi pada PRN lalu di Chennah dijangka menjadi ukuran sejauh mana Loke masih mampu mengekalkan sokongan akar umbi di DUN luar bandar, terutama ketika usaha MCA menghidupkan semula pengaruhnya.
Selain itu, DUN Rantau yang dipertahankan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sejak 2004 juga menjadi tumpuan. Ahli Parlimen Rembau itu yang kini memegang jawatan Menteri Luar, menang majoriti 10,280 undi sebelum ini dan akan menentang calon muda PH, Dr Azizul Hakim Mahdi.
Walaupun memperoleh majoriti besar, aspek perlu dilihat pada PRN kali ini sama ada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang lebih mesra disapa Tok Mat boleh mengekalkan pencapaian itu.
Ini kerana sebarang penyusutan majoriti akan ditafsir sebagai petunjuk perubahan sentimen pengundi, terutama Melayu.
Turut menjadi perhatian, DUN Linggi ditandingi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Beliau yang bertukar kerusi dari Sikamat berdepan persaingan tiga penjuru, menentang calon BN, Datuk Mohd Faizal Ramli iaitu penyandang kerusi dan Datuk Zamri Md Said daripada BERSATU.
Keputusan Aminuddin meninggalkan Sikamat dalam Parlimen Seremban memberi dimensi baharu kepada pertandingan di Linggi yang berada dalam Parlimen Port Dickson kerana kerusi itu secara tradisinya cenderung kepada BN.
Tindakan beliau juga boleh dilihat sebagai ujian peribadi terbesar selepas memimpin negeri sejak lapan tahun lalu. Jika menang selesa, mandat untuk Pengerusi PH Negeri Sembilan itu untuk memimpin negeri akan lebih kukuh.
Jika sebaliknya, ia boleh mencerminkan penyusutan sokongan kepada kerajaan negeri.
Pada masa sama, DUN Pertang yang dipertahankan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias juga menjadi tumpuan. Ahli Parlimen Jelebu itu memperoleh majoriti 2,790 undi pada PRN lalu dan akan berdepan persaingan tiga penjuru.
Beliau akan melawan calon PH, Mohd Umry Abdul Khois dan Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus daripada BERSATU. Jalaluddin mungkin masih mempunyai kelebihan sebagai penyandang.
Namun, Pertang juga dilihat menjadi ujian kepada kekuatan UMNO selepas perubahan landskap politik, yang akan dinilai berdasarkan pola pengundian, terutama daripada kaum Melayu.
Majoriti tipis
Satu lagi DUN dilihat panas ialah Juasseh, antara 11 kerusi DUN dimenangi pada PRN lalu dengan majoriti tipis dan kemungkinan boleh menjadi penentu kepada kemenangan mana-mana parti.
Majoriti undi bawah 1,000 berpotensi menjadi antara faktor kerusi berkenaan bertukar tangan.
Juasseh disandang isteri bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Samad, iaitu Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang menang kerusi berkenaan dengan majoriti hanya 78 undi.
Bagi PRN kali ini, BN mempertaruhkan bekas ADUN kawasan itu, Datuk Ismail Lasim yang pernah berkhidmat dari Mei 2018 hingga Ogos 2023, manakala BERSATU diwakili Mohd Zuhaimi Md Yusof dan PH oleh Mohd Aidil Abdullah (PKR).
Daripada 11 kerusi marginal itu, lapan dimenangi BN pada PRN lalu, dua kerusi oleh PH dan satu kerusi oleh PN.
Kerusi disandang BN, selain Juasseh, semuanya diwakili UMNO, iaitu Sungai Lui yang dimenangi dengan majoriti 535 undi, Palong (564), Jeram Padang (693), Lenggeng (685), Seri Menanti (370), Senaling (662) dan Kota (135).
Kerusi disandang PH ialah Klawang, diwakili calon AMANAH yang menang pada 2023 dengan majoriti 577 undi dan Ampangan oleh calon PKR (329), manakala kerusi disandang PN melalui calon PAS ialah Serting (843).
Walaupun di atas kertas, 11 kerusi ini boleh disifatkan panas, namun penganalisis politik melihat perubahan landskap persaingan antara parti menyebabkan majoriti rendah tidak boleh lagi menjadi ukuran kerusi panas.
Jika pada PRN lalu, PH dan BN membentuk kesepakatan susulan kerjasama pada peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PRN kali ini menyaksikan BN dan PN membentuk persefahaman dan menumpukan saingan terhadap PH.
Justeru, keputusan PRN sebelum ini dianggap sebagai data lama yang tidak boleh lagi menjadi rujukan kerana corak pertandingan, pemindahan undi dan tingkah laku pengundi akan berlaku dalam suasana politik sama sekali berbeza.
Apa pun, sebarang keputusan pada PRN kali ini pastinya memberikan perspektif baharu, mengambil kira perubahan landskap politik yang disifatkan mengejut oleh sesetengah pihak.
Faktor seperti prestasi kerajaan dalam membangunkan negeri, isu setempat dan nasional, kualiti calon serta peratusan keluar mengundi akan tetap menjadi antara kayu ukur kepada pengundi dalam memilih wakil rakyat bagi penggal seterusnya.
























