SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) semalam memaklumkan, Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan beroperasi seperti biasa dengan urusan perniagaan tidak terjejas susulan kebakaran pada malam Khamis lalu.
Menurut PKPS dalam satu kenyataan, kebakaran itu tidak membabitkan bangunan utama yang menempatkan operasi harian serta aktiviti perniagaan.
Bagaimanapun, katanya, punca kejadian itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.
"Kawasan Pasar Borong Selangor disahkan selamat dan operasi harian diteruskan seperti biasa.
"PKPS juga telah mengaktifkan Pusat Pengurusan Krisis yang beroperasi 24 jam bagi memantau perkembangan semasa.
"Pada masa sama, PKPS akan menyelaraskan tindakan susulan dan menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan kejadian itu," katanya.
Menurutnya lagi, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, telah mengesahkan kebakaran itu tidak membabitkan bangunan utama pasar dan operasi pemadaman selesai pada jam 6 pagi kelmarin.
Ashrul Riezal turut memaklumkan kepada PKPS bahawa operasi pemadaman ditamatkan pada jam 6 petang hari sama dan kawasan pasar kini disahkan selamat.
Sementara itu, Ashrul Riezal ketika dihubungi berkata, Bahagian Penyiasatan Ibu Pejabat JBPM Selangor akan memulakan siasatan punca kebakaran, esok, namun penilaian awal oleh pegawai siasatan dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah dimulakan.
"Bagaimanapun, Unit K9 terpaksa ditangguhkan seketika daripada memasuki kawasan titik panas berikutan keadaan persekitaran dalam kawasan itu masih berbahang dan panas ketika penilaian awal dijalankan," katanya.
Dalam kejadian itu, seramai 68 anggota JBPM dengan kekuatan 16 jentera terbabit operasi pemadaman bersama bantuan anggota daripada 13 balai bomba dan penyelamat (BBP).
Ia membabitkan BBP Bukit Jalil, Presint 7, Bandar Tun Hussein Onn, Petaling Jaya, Bangi, KLIA, Keramat, Hang Tuah, Hartamas, Cyberjaya, Bukit Jelutong, Subang Jaya dan Damansara.
Selain itu, operasi turut dibantu 67 anggota daripada 11 Pasukan Bomba Sukarela, selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan pasukan keselamatan Pasar Borong Selangor.
























