KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri acara kemuncak Citrawarna 2026 di Dataran Merdeka, malam tadi, sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Perdana Menteri yang tiba sekitar jam 9.35 malam dengan disambut iringan muzik dan barisan penari kebudayaan, turut menyantuni pengunjung yang hadir.
Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Tourism Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Citrawarna 2026 berlangsung dari 24 Julai hingga hari ini dengan menampilkan empat segmen utama membabitkan Citra Perarakan, Citra Rasa, Citra Budaya dan Citra Seni.
Acara kemuncaknya, Citra Perarakan pada malam tadi membabitkan seramai 3,500 penari mewakili 13 negeri, tiga Wilayah Persekutuan serta pelbagai komuniti budaya, dengan tema 'Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa'
Orang ramai yang membanjiri Dataran Merdeka tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan pelbagai tarian tradisional dari seluruh negara, termasuk zapin (Johor) dan tarian piring (Negeri Sembilan).
Acara turut dimeriahkan persembahan artis tanah air seperti Ernie Zakri, Aina Abdul, Wani Kayrie, Dr Soo Wincci, Santesh Kumar, Bulan Asyraff dan Kumpulan Balle-Balle.
Selain persembahan, orang ramai juga berpeluang mengunjungi lebih 70 gerai makanan dan minuman, 20 reruai aktiviti kebudayaan, serta 10 reruai seni.
Dalam pada itu, Tourism Malaysia memaklumkan bahawa Citrawarna 2026 berjaya menarik lebih 700 pelancong antarabangsa dari 12 negara termasuk China, India, Jepun, Indonesia, Singapura, Itali, Belanda, Switzerland dan Perancis menerusi pakej pelancongan khas.
Sejak diperkenalkan pada 1999, Citrawarna menjadi antara produk pelancongan budaya utama negara yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan seni, budaya, warisan serta keindahan alam semula jadi Malaysia ke peringkat antarabangsa.
























