BH Online
Ringkasan Berita

'Kita bertuah dapat saksikan pengebumian ahli syurga'

PASIR PUTEH: Ucapan berbunyi ‘kita bertuah dapat menyaksikan pengebumian ahli syurga’, menambah perasaan sayu dan mengundang deraian air mata ahli keluarga serta penduduk kampung yang menghadiri majlis pengebumian jenazah Nur Muazzah Aisyah Mubi, malam tadi.
'Kita bertuah dapat saksikan pengebumian ahli syurga'

Ibu bapa arwah Nur Muazzah Aisyah di sisi pusara anak mereka selepas jenazah selamat dikebumikan, malam tadi. - NSTP/NOR AMALINA ALIAS

PASIR PUTEH: Ucapan berbunyi 'kita bertuah dapat menyaksikan pengebumian ahli syurga', menambah perasaan sayu dan mengundang deraian air mata ahli keluarga serta penduduk kampung yang menghadiri majlis pengebumian jenazah Nur Muazzah Aisyah Mubi, malam tadi.

Kata-kata itu dilafazkan oleh Imam Tua Mukim Banggol Stol, Ustaz Tuan Mohd Azman Tuan Mat, sebaik saja jenazah kanak-kanak berusia tujuh tahun itu selamat dikebumikan pada jam 10.24 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lepah, Selising di sini.

Nur Muazzah Aisyah yang juga seorang kanak-kanak autistik, disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, pagi semalam.

Terdahulu, van membawa jenazah arwah tiba di tanah perkuburan pada jam 9.57 malam selepas disolatkan di Masjid At-Taqwa, Mukim Berangan.

Dalam ucapannya, Tuan Mohd Azman turut mendoakan kedua-dua ibu bapa arwah, Ustaz Mubi Mat Hussin, 38, dan Nor Azera Ismail, 36, bersama anak lain diberi ketabahan atas ujian kehilangan ahli keluarga mereka itu.

Beliau menjelaskan pada usia tujuh tahun, mangsa sah ahli syurga yang pergi dalam keadaan tiada dosa, selain tidak akan disoal mengenai solat dan dosa-dosa lain.

Sementara itu ibu saudara mangsa, Misliyah Mat Hussin, 50, berkata pihak keluarga masih terkejut dengan kejadian yang menimpa, namun bersyukur urusan di hospital dan pengebumian jenazah arwah berjalan lancar.

Katanya, kali terakhir beliau bertemu arwah ialah ketika mereka sekeluarga datang ke rumahnya di Selangor pada 6 Jun lalu.

"Saya belum sempat lagi bercakap (dengan ibu bapa mangsa mengenai kejadian yang berlaku) tetapi tahu melalui berita petang tadi," katanya.

Ibu bapa arwah turut dilihat bertafakur seketika sebaik saja jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu selamat dikebumikan.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai autistik maut apabila terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Ladang Tok Pelam.

Mayat mangsa ditemui di kawasan parkir di tingkat enam bangunan pangsapuri itu kira-kira jam 7 pagi semalam.

Video Terkini

Berita Berkaitan