PORT DICKSON: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan tidak berbangkit soal gabungan itu meniru atau 'copy-paste' manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
Beliau berkata, inti pati manifesto yang dibentangkan BN bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya adalah hasil usaha berterusan parti itu sejak sekian lama.
"Tidak timbul soal 'copy-paste' kerana dari 2004 hingga 2018, manifesto itu kami garapkan.
"Apa dilakukan sekarang ialah menambah baik daripada apa yang sudah sedia ada," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India, di sini, malam tadi.
Ahmad Zahid sekali gus memberi peringatan supaya pihak lawan tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan semata-mata untuk meraih persepsi politik.
"Kita tidak melihat apa yang mereka lakukan di Johor sebelum ini sebagai 'copy-paste', jadi janganlah pula kami dituduh melakukan perkara sama," katanya.
Beliau berkata, fokus utama BN ketika ini ialah meneruskan agenda pembangunan yang tergendala selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
"Kita mempunyai tujuan sama, iaitu melakukan kesinambungan terhadap agenda yang tergendala apabila BN tidak mendapat kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan pada 2018.
"Maka, Datuk Seri Mohamad Hasan tentunya berhak sebagai Pengerusi BN Negeri Sembilan, untuk meneruskan kesinambungan agenda ini.
"Saya yakin beliau akan melakukannya dengan lebih baik bersama kepimpinan dan parti komponen BN di Negeri Sembilan," katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dilaporkan mendakwa manifesto BN yang dilancarkan kelmarin, banyak meniru manifesto serta inisiatif yang diperkenal dan dilaksanakan kerajaan PH.
























