SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) menggariskan 14 tawaran tambahan menerusi enam teras sebagai sandaran gabungan itu dalam manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Enam teras itu merangkumi pentadbiran, belia dan ekonomi serta kebajikan, pendidikan dan pekerjaan.
Bertemakan 'PN Sepakat Hebatkan Negeri Sembilan', manifesto dilancarkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Kompleks PAS (KOMPAS) Kampung Ismail Ampangan, di sini, malam tadi.
Dalam ucapannya, beliau berkata, 14 tawaran tambahan itu adalah lampiran pelengkap kepada manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan kelmarin.
"Kita akan memberi tumpuan kepada Pembangunan Dashboard, Penambahbaikan Sistem Pengurusan dan Pentadbiran Masjid yang mesra kariah.
"Turut menjadi fokus ialah Penyediaan Rumah Transit Belia untuk graduan dan pasangan baru berkahwin, selain pelaksanaan program Pemerkasaan Keluarga Mawaddah," katanya.
Beliau berkata, penerokaan dan pembangunan Pelan Ekonomi Biru Negeri Sembilan juga akan diberikan tumpuan, termasuk menaik taraf infrastruktur yang menyokong industri gas dan minyak.
Ahmad Samsuri berkata, pembangunan pakej pelaburan baharu dalam sektor mineral kritikal, semikonduktor, aeroangkasa, kenderaan elektrik (EV), logistik dan ekonomi digital akan turut diberikan perhatian.
"Tawaran pemberian bantuan prihatin rakyat akan dilaku dengan menyasarkan keluarga B40 dan M40 bagi meringankan beban rakyat, terutama golongan berkomitmen tinggi serta berpendapatan rendah.
"PN juga akan membuat penyaluran dana sokongan khas kebajikan dan hal ehwal kepada bukan Islam," katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, dari segi pendidikan, PN menawarkan perancangan menaik taraf Kolej Yayasan NS (KYNS) kepada yang berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan gunaan, penyelidikan industri dan inovasi.
Katanya, pemerkasaan sekretariat TVET negeri akan diselarikan dengan Program Tahfiz TVET.
"Menerusi program ini, pemberian bantuan pensijilan profesional akan disediakan untuk graduan Negeri Sembilan," katanya.
Selain itu, beliau berkata, Negeri Sembilan Talent Corporation (NTC) akan diwujudkan sebagai pusat pembangunan bakat dan kepakaran masa depan termasuk dalam bidang teknologi hijau, semikonduktor, keselamatan siber, ekonomi digital dan automasi termaju.
"Pengwujudan Pusat Padanan Pekerjaan Negeri Sembilan akan dilaksanakan bagi sektor pelancongan dan industri terkini," katanya.
Naib Presiden PAS itu berkata, kerajaan negeri perlu kembali kepada fungsi asasnya iaitu membela kebajikan rakyat, memperkukuhkan ekonomi negeri, merancakkan pertumbuhan ekonomi inklusif dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti.
"Selain itu, penyediaan perumahan mampu milik, memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam, serta mentadbir negeri secara amanah, telus dan berintegriti," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, PN turut sedar bahawa kedudukan kewangan Negeri Sembilan memerlukan kekuatan fiskal yang tinggi bagi menyokong perancangan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Justeru, katanya, setiap tawaran dikemukakan dirangka secara bertanggungjawab dengan mengambil kira kemampuan sebenar kewangan negeri, memanfaatkan kerjasama strategik bersama sektor swasta, mengoptimumkan sumber dan perbelanjaan sedia ada, serta memastikan kedudukan fiskal negeri kekal mampan.
























