BH Online
Ringkasan Berita

'Saya tahu... saya pernah berada di situ' - Muhyiddin

NILAI: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah menjangkakan ketegangan akan berlaku dalam persefahaman dijalin antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN).
'Saya tahu... saya pernah berada di situ' - Muhyiddin

Muhyiddin bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Manifesto BERSATU di Nilai, hari ini. - NSTP/MOHD AMIN JALIL

NILAI: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah menjangkakan ketegangan akan berlaku dalam persefahaman dijalin antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN).

Sambil mendakwa persefahaman terbabit dibuat atas dasar merebut kuasa, bekas Perdana Menteri itu menegaskan beliau berpengalaman menguruskan PN dan lebih memahami dinamika dalaman gabungan berkenaan.

"Saya sudah jangka, belum apa-apa lagi. Siapa (Datuk Seri) Hamzah Zainudin yang nak mengatakan 'Perikatan Barisan Nasional', itu pun dia dah kena 'sembelih', BN tak setuju.

"Saya tahu kerana saya pernah berada di situ, macam mana nak menguruskan soal PN. Hari itu dikatakan ini satu gabungan tapi ini bukan gabungan sebenarnya.

"Satu pihak keluarkan kenyataan, disanggah pula oleh pihak lain dalam susunan yang baharu. Saya buat ramalan, ini adalah untuk kepentingan masing-masing.

"Kepentingan itu tidak semestinya untuk tujuan yang sama. Pokoknya, mereka bekerjasama untuk kuasa.

"Ada nampak PAS bercakap mengenai soal ekonomi atau sosial? Yang ada, keluar hukum-hakam entah dari mana," dakwanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto BERSATU Demi Nismilan di Bilik Gerakan Utama, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Hamzah yang juga Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), dilapor mencadangkan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi kerjasama PN-BN.

Terbaru, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, supaya tidak memainkan isu kaum dan agama sepanjang tempoh berkempen pada PRN Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Hamzah bukan mempunyai jawatan sebagai Pengerusi PN dan tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan tanpa konsensus kedua-dua gabungan.

"Kerjasama BN-PN dilihat bertujuan mengisi kepentingan masing-masing yang ingin berebut kuasa," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan