KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Qatar dinasihatkan mematuhi arahan keselamatan oleh pihak berkuasa, dan mengelakkan kawasan tentera susulan perkembangan terkini di rantau Teluk.
Kedutaan Besar Malaysia di Doha turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa peka terhadap perkembangan sekeliling, tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu atau menyebarkan khabar angin.
"Pihak kedutaan akan terus memantau keadaan dan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa," menurut notis dimuat naik dalam Facebook rasmi kedutaan itu, hari ini.
Selain itu, kedutaan juga menyarankan rakyat Malaysia sentiasa menyemak jadual penerbangan terkini sebelum melakukan perjalanan dari Qatar.
Mereka juga disaran mengemas kini maklumat diri dan keluarga.
"Sekiranya anda memerlukan sebarang bantuan atau nasihat, sila hubungi kedutaan melalui talian +974 3374 6733 atau e-mel: mwdoha@kln.gov.my," menurut kenyataan itu.
























