SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) yakin mampu meraih sokongan lebih tinggi daripada masyarakat Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, seperti yang dapat dilihat pada PRN Johor baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata masyarakat Cina sudah lama 'naik angin' dengan dasar kerajaan sedia ada, terutama membabitkan aspek perniagaan.
Justeru, beliau percaya, 'angin sokongan' pengundi Cina di Johor akan turut diterjemahkan di Negeri Sembilan pada hari pengundian, 1 Ogos ini.
"Angin di Johor itu betul, tapi orang Cina sudah lama 'naik angin' dah... dengan segala dasar yang dibuat, yang menyebabkan kemarahan orang Cina, terutama peniaga.
"Antaranya (dasar) seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), e-Invois, lori lebih muatan kena saman, macam-macam lagi.
"Jadi kali ini, mereka akan terjemahkan. Mereka terjemahkan di Johor dan saya harap akan diterjemahkan juga di Negeri Sembilan supaya kita dapat pastikan masalah yang dihadapi masyarakat itu betul-betul didengar oleh kerajaan," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program Podcast Utama Buletin TV3 sempena PRN Negeri Sembilan Ke-16 di sini, hari ini.
Mengulas sentimen dimainkan terhadap pengundi Cina iaitu mengundi BN sama seperti mengundi PAS, Mohamad menyifatkan ia sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan kaum itu, yang kini terang-terangan menyatakan sokongan kepada BN.
Beliau menjelaskan, BN adalah 'pemegang saham' terbesar pada PRN ini kerana bertanding di 25 kerusi, manakala PN hanya di 11 kerusi.
"Janganlah risau, melainkan mereka bertanding di 80 peratus kerusi, kita 20 peratus. Jadi, ada elemen perasaan was-was itu.
"Bagaimanapun, BN bertanding di 70 peratus kerusi. Kita yang membuat keputusan akhir dan jika nak tubuh kerajaan pun, majoriti kita akan uruskan kerajaan.
"Jadi, PAS tidak ada dan parti itu siang-siang sudah beritahu tidak ada langsung cita-cita nak jadi Menteri Besar," katanya.
Menyentuh usaha mewujudkan Galeri Rujukan Adat Perpatih seperti digariskan dalam Manifesto BN pada PRN berkenaan, Mohamad menjelaskan adat warisan Negeri Sembilan itu perlu didokumenkan secara lengkap supaya boleh menjadi rujukan generasi akan datang.
Ketika ini, katanya, sistem adat itu disampaikan secara lisan dari generasi ke generasi, tidak didokumenkan.
Malah, beliau berkata tulisan mengenainya diambil dari pelbagai sumber, menyebabkan ia sukar difahami dan menimbulkan masalah jika seseorang Undang Luak itu meninggal dunia.
"Adat ini pula berbeza mengikut Luak masing-masing, jadi ia perlu didokumenkan betul-betul. Kita mesti mencari penyelidik dengan sepenuh masa menulis mengenainya supaya generasi akan datang faham.
"Justeru, kita mahu buat satu unit, mungkin di bawah Muzium Negeri Sembilan. Jika tidak dibukukan, susah untuk generasi akan datang dan pengamal adat untuk meneruskan sistem beradat ini," katanya.
























