KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu inisiatif diumumkan kerajaan sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA khususnya berkaitan penyelesaian isu penyediaan tapak perumahan bagi generasi kedua FELDA dilaksanakan segera.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata beliau akan menyediakan kertas dasar dalam tempoh sebulan ini untuk dibentang dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, Ketua Menteri serta Premier, supaya semua kawasan perumahan FELDA diizinkan mengadakan rumah kedua segera.
"Saya sudah seminggu, dua minggu yang lalu, selesai bagi arahan. TNB (Tenaga Nasional Berhad) kalau dapat buat dulu sementara pun tak apa, juga daripada kerajaan negeri, akan (selesaikan) memasang elektrik segera.
"Saya kata kepada TNB, jangan tanya saya, saya tak nak dengar masalah. Jalan, masalah air itu adalah masalah dengan kerajaan negeri. Keputusan sudah kita buat, cuma pelaksanaannya.
"TNB (akan) selesai, masalah air itu dengan kerajaan negeri. Kerajaan negeri pun sudah memulakan," katanya berucap pada Program Santai Perantau sempena 70 tahun FELDA di pekarangan Dewan Perdana FELDA di sini, malam ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.
Pada 7 Julai lalu, Anwar mengumumkan tujuh inisiatif baharu sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA termasuk peruntukan RM990 juta bagi membiayai semula pinjaman Sukuk FELDA serta penghapusan hutang peneroka.
Kerajaan turut memperuntukkan lebih RM1 bilion pada tahun hadapan bagi meneruskan usaha membantu peneroka FELDA, termasuk penyelesaian isu perumahan yang menjadi antara kebimbangan golongan berkenaan.
Anwar mahu mana-mana kerajaan negeri yang berdepan kesulitan kewangan supaya merujuk Kementerian Kewangan, supaya segala kekangan yang ada ini dapat diatasi sebaiknya.
"Kalau ada satu, dua kerajaan negeri ada masalah kewangan kononnya, itu saya akan pertimbangkan untuk Kementerian Kewangan kaji, di mana yang boleh kita bantu sebahagian atau separuh," katanya.
Mengenai pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA, Anwar berkata Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan akan dibentang tahun ini juga.
"Soal akta FELDA, memang dia ambil masa sikit. Saya tunggu draf dia dan Pengurus Besar (FELDA) draf awal kalau sudah ada, akan dibentang ke lembaga pengarah dan lembaga pengarah sebaik diluluskan, saya akan segerakan untuk kelulusan Jemaah Menteri dan akan dibentangkan di Parlimen.
"Saya bagi arahan supaya dapat dibentangkan (RUU) sebelum akhir tahun ini. Tetapi soal akta itu bukan masalah, kerana kalau FELDA dan kerajaan Persekutuan dan pengurusan FELDA setuju, tidak dibantah kerajaan negeri, beberapa program itu boleh dijalankan dulu," katanya.
Anwar berharap dengan kelulusan RUU nanti, segala masalah yang sudah membelenggu warga peneroka sejak sekian lama itu dapat diselesaikan sebaiknya.
























