BH Online
Ringkasan Berita

Persefahaman BN-PN: "Duduk dulu elok-elok, esok (kalau dah elok) baru berlunjur" – Tok Mat

SEREMBAN: Persefahaman dibentuk antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu bergerak secara perlahan dan teratur tanpa tergesa-gesa untuk diangkat sebagai gabungan.
Persefahaman BN-PN: "Duduk dulu elok-elok, esok (kalau dah elok) baru berlunjur" – Tok Mat

Mohamad ketika menjadi tetamu pada program Podcast Utama Buletin TV3 sempena PRN Negeri Sembilan hari ini. - NSTP/ Mohd Fadli Hamzah

SEREMBAN: Persefahaman dibentuk antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu bergerak secara perlahan dan teratur tanpa tergesa-gesa untuk diangkat sebagai gabungan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata formula dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 itu mungkin berjaya, namun kedua-dua pihak perlu mengukur segenap aspek.

Katanya, ia termasuk tahap kejayaan, penerimaan pengundi dan isu yang timbul hasil keputusan PRN itu kelak.

"Politik orang Melayu adalah politik berparti, justeru sukar untuk kaum itu diletak dalam satu parti yang besar.

"Orang tua-tua kata, duduklah dulu elok-elok. Esok nak lunjurkan kaki, barulah berlunjur. Langkahlah setapak demi setapak, jangan terus nak berlari.

"Jika persefahaman ini satu formula yang berjaya, kita berpegang kepada itulah. Mengapa kita nak ubah-ubah... jika formula itu berjaya, maknanya penerimaannya bagus.

"Jangan terus kita nak beranjak daripada apa yang kita lakukan. Jika persefahaman di Negeri Sembilan ini tidak menunjukkan keputusan yang baik, kita kaji sebabnya dan tidak perlu tergesa-gesa untuk menubuhkan satu gabungan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program Podcast Utama Buletin TV3 sempena PRN Negeri Sembilan hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO ditanya sama ada persefahaman antara BN dan PN pada PRN kali ini akan diangkat menjadi gabungan pada PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mengulas lanjut, beliau berkata persefahaman itu adalah uji kaji bagi memastikan undi Melayu tidak berpecah hingga menyebabkan kegagalan BN di tujuh kerusi pada PRN Negeri Sembilan lalu.

Kerusi berkenaan adalah Sikamat, Ampangan, Paroi, Labu, Kuala Klawang, Pilah dan Gemas.

"Kita kalah disebabkan orang Melayu berpecah, disebabkan banyak sangat parti teras Melayu yang bertanding, sampai tiga empat penjuru.

"Jadi apa salahnya kita buat persefahaman. Kau menang di situ, kau bertandinglah. Di tempat aku, aku menang, jadi aku bertanding," katanya.

Mohamad berkata, beberapa cubaan dibuat sebelum ini termasuk melalui Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) membabitkan kerjasama antara PAS dan BERSATU, namun semuanya berpecah.

"Kita tidak akan dapat letakkan orang Melayu dalam satu parti besar. Lebih baik buat persefahaman sahaja daripada bertembung yang menjadi sebab utama BN kalah dan politik Melayu gagal.

"Jika kita tidak terikat, kita boleh laksanakan dasar kita dan begitu juga dengan rakan kita.

"Di situ nanti, kita gaul, gubal elok-elok supaya dapat diurus dengan baik, dengan tidak menjejaskan identiti parti masing-masing," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan