BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: Manifesto BN bawa naratif 'agenda tergendala', bukan janji kosong

TAWARAN Manifesto Barisan Nasional (BN) berpaksikan sembilan teras utama dan 88 usaha menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, tampil sebagai naratif strategik tekad menyambung agenda pembangunan negeri yang tergendala sejak 2018.
PRN NS: Manifesto BN bawa naratif 'agenda tergendala', bukan janji kosong

Mohamad (empat dari kiri) pada Majlis Pelancaran Manifesto BN di Seremban, semalam. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

TAWARAN Manifesto Barisan Nasional (BN) berpaksikan sembilan teras utama dan 88 usaha menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, tampil sebagai naratif strategik tekad menyambung agenda pembangunan negeri yang tergendala sejak 2018.

Berpijak di bumi nyata tanpa mengetengahkan aspirasi di luar jangkauan, BN melihat keperluan rakyat sebagai pengisian supaya setiap lapisan masyarakat berasa terangkum dan mendapat bahagian masing-masing.

Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan, berkata pendekatan BN yang menekankan konsep 'rancangan tergendala' dan bukannya 'tertangguh' sebagaimana ditekankan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, memberi mesej politik yang kuat kepada rakyat.

"Konsep ini penting untuk memberi gambaran kepada pengundi bahawa BN berhasrat kembali dan sekiranya diberikan mandat, ia bakal meneruskan perancangan serta dasar yang terhenti selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Ini amat menarik kerana perbezaan istilah itu memperlihatkan keyakinan BN bahawa pembangunan negeri bukan gagal, sebaliknya terhenti di tengah jalan akibat pertukaran kerajaan," katanya kepada BH.

Membawa tema 'Hebatkan Semula Negeri Sembilan: Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta', fokus terhadap penyediaan rumah mampu milik dan peluang pekerjaan tempatan dilihat sebagai langkah tepat dalam menangani isu rakyat negeri berkenaan.

Azmi mengupas kedudukan berjiran dengan Lembah Klang yang mencetuskan limpahan penduduk bekerja di Kuala Lumpur dan Selangor tetapi menetap di Negeri Sembilan.

Keadaan itu, tegasnya, memberi tekanan tinggi kepada pasaran hartanah tempatan sehingga menyebabkan harga rumah meningkat.

"Isu perumahan mampu milik ini amat mendesak. Ramai yang tinggal di Negeri Sembilan tetapi berulang-alik bekerja di luar, khususnya Lembah Klang.

"Justeru, penyediaan rumah mampu milik dan penawaran lebih banyak peluang pekerjaan di dalam negeri amat kritikal supaya rakyat tidak terdesak mencari rezeki di luar.

"Sektor pelancongan juga perlu diberi suntikan baharu. Melaka berada di kedudukan strategik sama antara Kuala Lumpur dan Singapura, namun ia lebih jauh ke hadapan dalam menarik pelancong menerusi pelbagai projek berimpak tinggi," katanya.

Berkongsi pandangan sama, penganalisis politik, Mujibu Abd Muis, berkata manifesto BN Negeri Sembilan dibina khusus atas naratif kesinambungan pembangunan bagi membezakannya dengan tawaran parti lain.

Berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang lebih menonjolkan tawaran baharu, beliau berkata, BN cuba meyakinkan pengundi bahawa mereka tidak bermula dari kosong, sebaliknya bersandar kepada pengalaman dan rekod pentadbiran lalu.

"Dari sudut komunikasi politik, naratif ini mempunyai kelebihan kerana ia cuba membina persepsi bahawa BN mempunyai pengalaman mentadbir, rekod pelaksanaan dan kesinambungan dasar, bukannya sekadar menawarkan janji baharu," katanya.

Bagaimanapun, Mujibu berkata, gabungan itu turut berdepan cabaran untuk menjawab persoalan lebih kritikal daripada pengundi tempatan yang semakin matang.

Sebahagian besar kandungan manifesto BN lebih bersifat menyambung serta memulihkan berbanding menawarkan janji baharu, dan strategi berkenaan mungkin berkesan kepada pengundi yang mengutamakan kestabilan serta pengalaman.

Bagaimanapun, ia mungkin kurang memberi impak kepada pengundi muda yang lazimnya mencari idea baharu, transformasi ekonomi, dan penyelesaian kepada cabaran masa depan seperti ekonomi digital serta pekerjaan berpendapatan tinggi.

Kurang seminggu sebelum semuanya terjawab – manifesto mana menjadi pilihan rakyat Negeri Sembilan untuk sepenggal akan datang.

Video Terkini

Berita Berkaitan