MELAKA: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 123 mangsa banjir daripada 36 keluarga di daerah Melaka Tengah dan Jasin setakat 8 malam ini.
PPS terbaharu yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tembakau, Jasin jam 3.15 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka memaklumkan 60 mangsa daripada 18 keluarga di daerah Melaka Tengah ditempatkan di PPS Bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor.
Kesemua mangsa terjejas melibatkan 17 kawasan di daerah itu antaranya Kampung Lereh, Peringgit, Kampung Bachang, Tengkera, Bukit Rambai dan Tanjung Kling.
Sementara itu, di daerah Jasin, sebanyak 37 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS SK Serkam Darat manakala 26 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di SK Bukit Tembakau.
Terdapat tiga kawasan terjejas di daerah Jasin, iaitu Kampung Pulai, Kampung Serkam dan Kampung Bukit Tembakau.
– BERNAMA
























