KUALA LUMPUR: Pemuda PAS dan Pemuda UMNO bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi menyelaraskan gerak kerja anak muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata persetujuan itu dicapai dalam pertemuan membabitkan kedua-dua sayap parti berkenaan, semalam.
Ia turut dihadiri Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, serta Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Katanya, pertemuan itu adalah satu lagi langkah penting bagi memperkukuhkan kerjasama politik anak muda terbabit.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan memfokus usaha menggerakkan pengundi muda supaya keluar menunaikan tanggungjawab mengundi dan memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) - Barisan Nasional (BN).
"Sebagai langkah awal, kedua-dua pihak akan bersama-sama menyertai siri jelajah di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bermula Ahad ini.
"Jelajah itu akan menjadi medan untuk mendekati pengundi muda, menyampaikan hala tuju kerjasama PN-BN, serta membangkitkan kesedaran mengenai kepentingan keluar mengundi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Malah sebelum berakhirnya tempoh kempen nanti, Khairul Nadzir berkata, kedua-dua pihak akan mengumumkan penganjuran sebuah pentas anak muda berskala besar yang menghimpunkan kekuatan dan suara generasi muda.
Beliau sekali gus menjelaskan, kerjasama terjalin itu bukan bersifat sementara atau hanya tertumpu kepada PRN Negeri Sembilan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada persediaan menghadapi siri pilihan raya akan datang hingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
"Kerjasama bagi PRN Negeri Sembilan ini adalah permulaan kepada gerak kerja yang lebih tersusun dan menyeluruh.
"Bagaimanapun, persefahaman antara kedua-dua pihak sebenarnya telah mula dibina lebih awal, termasuk menerusi pertemuan dalam satu sesi podcast sekitar setahun lalu," katanya.
Bagi menyatukan kekuatan anak muda, beliau berkata, Pemuda PAS dan Pemuda UMNO berkongsi tekad bersama bagi menyekat Pakatan Harapan (PH)-DAP daripada terus berkuasa.
Selain itu, katanya, kedua-dua berusaha membentuk sebuah pentadbiran yang disifatkan lebih stabil, berprinsip dan mengutamakan kepentingan rakyat.
"Kerjasama ini menjadi bukti bahawa anak muda PAS dan UMNO bersedia mengetepikan perbezaan lama, membina persefahaman baharu, serta bergerak bersama demi masa depan politik negara yang lebih baik," katanya.
























