BH Online
Ringkasan Berita

Penolong Pengarang Berita BH terima anugerah tokoh wartawan anti rasuah MCW

NILAI: Penolong Pengarang Berita (Rencana) Berita Harian, Mohd Anwar Patho Rohman menerima anugerah Tokoh Wartawan Pendokong Perjuangan Antirasuah dan Sayap Kebaktian MCW di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.
Penolong Pengarang Berita BH terima anugerah tokoh wartawan anti rasuah MCW

Mohd Anwar Patho (dua kiri) bersama Dr Awang (lima kiri) dan kepimpinan MCW di majlis penyampaian sijil penghargaan di USIM, Nilai hari ini. - Foto NSTP/Ahmad Hasbi

NILAI: Penolong Pengarang Berita (Rencana) Berita Harian, Mohd Anwar Patho Rohman menerima anugerah Tokoh Wartawan Pendokong Perjuangan Antirasuah dan Sayap Kebaktian MCW di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Penyampaian sijil penghargaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan sempena Mesyuarat Agung Tritahunan Keempat Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Anugerah itu sebagai pengiktirafan atas ketokohan dan komitmen berterusan pengamal media dalam menyokong agenda anti rasuah MCW dan sebagai rakan strategik MCW dalam usaha pencegahan rasuah di peringkat nasional.

Turut menerima anugerah berkenaan adalah Pengarang Berita Harian Metro, Mohd Jamilul Anbia Md Denin.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, MCW memperkenalkan hala tuju baharu bagi penggal 2026-2029 iaitu falsafah 'Eagle View - Melihat Lebih Jauh, Bertindak Lebih Tegas.'

"Helang melambangkan pandangan luas, ketajaman menilai, keberanian membuat keputusan dan keupayaan bertindak tepat pada waktunya.

"MCW tidak boleh hanya bertindak selepas sesuatu isu menjadi besar. Kita mesti mengesan risiko lebih awal, memahami pola rasuah, menilai kelemahan sistem dan mengemukakan penyelesaian yang boleh dilaksanakan," katanya, hari ini.

Turut diadakan Sesi Dialog Eksekutif - Masyarakat Malaysia Madani Berintegriti yang menampilkan panel Datuk Seri Prof Noor Inayah Ya'akub, dan Dr Jufitri Joha.

Jais berkata, MCW juga berpendirian bahawa Indeks Persepsi Rasuah (CPI) kekal sebagai antara penanda aras antarabangsa yang penting untuk menilai tahap keyakinan terhadap integriti sektor awam sesebuah negara.

"Walaupun CPI bukan ukuran mutlak dan mempunyai keterbatasan kerana berasaskan persepsi, ia tetap memberi gambaran bagaimana dunia melihat sistem tadbir urus Malaysia.

"Justeru, MCW tidak melihat peningkatan atau penurunan skor CPI sebagai kemenangan atau kegagalan mana-mana kerajaan semata-mata, sebaliknya sebagai petunjuk bahawa usaha pembaharuan institusi perlu diteruskan secara konsisten.

"Matlamat MCW bukan sekadar meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI, tetapi memastikan perubahan itu lahir daripada pembaharuan sebenar, penguatkuasaan yang adil, tadbir urus yang telus dan budaya integriti yang diamalkan oleh seluruh masyarakat," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan