BH Online
Ringkasan Berita

Pemuda AMANAH buat laporan polis dakwa kenyataan Sanusi berpotensi sentuh isu 3R

KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang disifatkan berpotensi menyentuh isu 3R (raja, kaum dan agama).
Pemuda AMANAH buat laporan polis dakwa kenyataan Sanusi berpotensi sentuh isu 3R

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama penyokong BN di Pusat Penamaan Calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol pada 18 Julai lalu. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang disifatkan berpotensi menyentuh isu 3R (raja, kaum dan agama).

Pengarah Mobilisasi Pemuda AMANAH Nasional, Ramadhan Lotphi, berkata kenyataan Sanusi yang menyebut bahawa 'Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu' adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

"Sehubungan itu, Pemuda AMANAH membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada jam 4 petang tadi bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat secara adil dan profesional kenyataan itu.

"Tiada mana-mana individu harus dikecualikan daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati mengeluarkan kenyataan berpotensi menghasut atau menimbulkan ketegangan antara kaum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Pemuda AMANAH menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan tanpa memilih bulu demi memastikan keharmonian serta ketenteraman negara terus terpelihara.

Beliau berkata, Malaysia tanah air kepada seluruh warganya tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang, di mana rakyat berketurunan Cina ialah rakyat Malaysia, bukannya rakyat China.

"Begitu juga rakyat Malaysia berketurunan India ialah rakyat Malaysia, bukannya rakyat India. Cubaan menyamakan identiti rakyat Malaysia dengan negara asal nenek moyang mereka adalah naratif mengelirukan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional," katanya.

Beliau menegaskan, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang wajib dihormati, namun pada masa sama, turut menjamin hak kewarganegaraan semua rakyat.

"Mempertahankan hak istimewa orang Melayu tidak pernah bermaksud menafikan kedudukan, maruah dan hak rakyat Malaysia daripada kaum lain sebagai warga negara ini.

"Pemimpin politik sewajarnya menjadi ejen penyatuan, bukannya meniup sentimen perkauman yang boleh menghakis keharmonian masyarakat majmuk. Negara ini dibina atas semangat saling menghormati dan hidup bersama sebagai satu bangsa Malaysia," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan