SEREMBAN: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dijadikan modal kempen politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sekali gus mempersoalkan tindakan menghebohkan perihal laporan terbabit ketika musim pilihan raya kini.
Beliau turut menekankan bahawa UMNO ialah antara pihak paling awal mendesak supaya RCI ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penyelewengan serta persepsi negatif yang menyelubungi TH ketika itu.
"Kalau laporan (RCI TH) itu sudah siap, kenapa hanya pada waktu PRN Negeri Sembilan baru diuarkan-uarkan?
"Kalau hendak keluarkan (laporan RCI TH), keluarkan sekarang dan jangan tunggu lagi," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata demikian kepada pemberita pada Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti (PPWK) MARA 2026 Peringkat Rasah, di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin dilaporkan berkata kerajaan bersedia untuk mendedahkan laporan akhir RCI berkait TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan berhubung dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.
Sebelum ini, pemimpin Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Datuk Seri Rafizi Ramli, dipetik berkata laporan RCI terbabit sepatutnya didedahkan kepada umum pada seawal 2023 ketika ia mula-mula disiapkan.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, mendakwa tindakan melambat-lambatkan pendedahan laporan itu dipercayai berpunca daripada sikap berhati-hati Perdana Menteri yang mahu menjaga hati UMNO.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan tidak pernah berbangkit alasan laporan itu ditangguhkan sebagaimana yang didakwa Rafizi.
"Kita (UMNO) yang mendesak RCI itu diwujudkan kerana terlalu banyak fitnah serta tohmahan kononnya TH rugi dan wang pendeposit diselewengkan.
"TH adalah institusi amat dekat di hati umat Islam, sebab itu kita mahu semua dakwaan terbabit disiasat supaya rakyat mengetahui perkara sebenar.
"Kalau benar ada individu didapati menyakau seperti yang disebut Perdana Menteri, ambillah tindakan.
"Jangan hanya bermain dengan sentimen sehingga mencetuskan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat, akhirnya orang (rakyat) akan melihat perkara ini sekadar modal politik murahan," katanya.
























