SEREMBAN: Kerjasama BN-PN tidak hanya terhad kepada UMNO dan PAS, tetapi kerjasama antara semua parti komponen di bawah blok berkenaan yang mewakili masyarakat berbilang kaum.
Justeru bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata taktik menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dengan gelombang hijau atau 'green wave' tidak akan berkesan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan ia sudah terbukti di PRN Johor.
"Saya nak cerita sikit berkaitan dengan nak menakutkan terutama pengundi bukan Melayu. Cina dan India yang kata ini kerjasama dengan UMNO-PAS adalah sesuatu yang bahaya.
"Ini bukan kerjasama UMNO dengan PAS. Ini kerjasama BN dengan PN. BN ini UMNO ada, MCA ada, MIC ada, PPP ada, KIMA ada. PN ada PAS, ada WAWASAN, ada Gerakan, ada MIPP.
"Jadi jangan kita anggap bahawa ini adalah satu 'Melayu' ataupun dia panggil sebagai green wave. Ini tak betul," katanya berucap pada Program Lepak Bersama KJ di Temiang, di sini, hari ini.
Khairy berkata, propaganda sama dimainkan ketika PRN di Johor, namun ia 'tidak laku' malah menyaksikan kebangkitan MCA apabila menang di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Di Johor hari itu, dia (DAP) cuba takutkan pengundi Cina. Jangan sokong BN, sebab kalau undi BN dapat PAS. Tetapi propaganda itu tak laku di Johor, kita akan tetap mentadbir sebagai BN.
"Walaupun dia buat propaganda, saya nak ucapkan tahniah, MCA dulu empat kerusi saja di Johor, baru-baru ini di Johor MCA dapat lapan kerusi," katanya.
Khairy menjelaskan, jika kerjasama BN-PN berkesan di Negeri Sembilan, pimpinan utama UMNO menyatakan hasrat untuk bekerjasama di negeri lain.
Besar kepala jika sudah lama berkuasa
Sementara itu, Khairy berkata, apabila sudah berkuasa terlalu lama, sesebuah parti akan 'besar kepala' dan kejatuhan UMNO sebelum ini menjadi hikmah kepada mereka.
Namun jelasnya, perkara itu kini sedang berlaku dalam DAP apabila ada pemimpin parti itu dilihat mula sombong dan besar kepala sedangkan dahulu mereka memperjuangkan parti mesra rakyat.
"Tapi sekarang ini, ini orang sudah lama sangat pegang kuasa, dia sudah besar kepala. Apabila mereka besar kepala, bila dia sudah jadi angkuh, dia sombong," katanya.
























