BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin beberapa negara menyuarakan hasrat bekerjasama dengan Malaysia dalam industri halal.
Perdana Menteri berkata, mereka termasuk dari Vietnam, China, Brazil, Afrika Selatan, Peru dan Ethiopia yang menyatakan Malaysia mencatat prestasi baik dalam sektor berkenaan.
"Baik Vietnam; Presiden China; Presiden Lula, Brazil (Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva); Presiden Ramaphosa, Afrika Selatan (Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa)... semuanya tanpa kecuali menyatakan Malaysia mencatat prestasi baik dalam industri halal, dan mereka mahu bekerjasama untuk mendapatkan pensijilan serta pengiktirafan halal daripada Malaysia.
"Ini saya mengucapkan tahniah kepada semua, baik JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Majlis Agama Islam yang dapat mempertahankan prestasi kita yang cemerlang dalam memperkenalkan industri halal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang & Program MADANI Kita, di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan dana sebanyak RM5 juta untuk pelaksanaan Program Strategi Semikonduktor Bumiputera yang akan dibangunkan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) dan pihak berkepentingan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kekuatan Malaysia tidak seharusnya tertumpu kepada pensijilan halal semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan pembangunan industri halal lebih menyeluruh.
"Kekuatan kita bukan saja pensijilan tetapi juga mesti ada sinergi antara sijil dengan industri," katanya.
Beliau mengambil contoh perbincangannya dengan Perdana Menteri Vietnam yang berhasrat mengembangkan industri halal di negara itu serta mendapatkan pensijilan halal Malaysia.
"Dalam perbincangan itu, saya menyatakan Kerajaan Vietnam perlu memerhati strategi untuk bekerjasama dengan industri halal di Malaysia.
"Ini kerana kalau (mereka dapat) pensijilan itu, sekali gus harus dipantau dan pemantauan itu lebih berkesan kalau ada kerjasama dengan industri Malaysia yang boleh bersama dalam mempertahankan kesinambungan atau kelangsungan industri halal," katanya.
Perdana Menteri berkata, pengiktirafan dunia terhadap Malaysia juga adalah hasil tadbir urus yang baik dan usaha mengelakkan penyelewengan.
"Apabila kita urus dengan baik dan elakkan penyelewengan, tatakelola baik... dunia mengiktiraf kita.
"Apabila dunia mengiktiraf kita, industri halal di Malaysia boleh berkembang dan kita berharap ia menjadi kemuncak serta industri halal yang terbaik dan paling cemerlang di dunia.
"Ini cita-cita kita kerana jumpa Presiden Peru tadi, saya sebut Brazil, Presiden Ethiopia... semuanya tanpa kecuali. Saya agak tertarik dengan hal ini kerana pertamanya, pensijilan itu mendapat pengiktirafan tinggi.
"Keduanya, syarikat-syarikat baik Bumiputera atau bukan Bumiputera, apabila mendapat pensijilan halal, itu diberikan pengiktirafan dan penghormatan," katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara syarikat Bumiputera dengan bukan Bumiputera dalam industri halal juga perlu diperkukuh bagi memastikan sektor itu terus berkembang dan menjadi antara yang terbaik di dunia.
























